MIC mempunyai peluang yang baik di DUN Rembia yang kini mempunyai lebih 2,600 pengundi India
KUALA LUMPUR: Di sebalik pengumuman Presiden MIC Dr S Subramaniam yang mengatakan MIC akan mengekalkan kesemua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum yang lalu, desas-desus MIC sedang mengintai untuk bertanding di kerusi baharu di Melaka menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli MIC. khususnya di Melaka.
Menurut sumber dalaman MIC dari Melaka, beberapa pemimpin MIC akar umbi di Melaka tidak begitu selesa dengan kenyataan Dr Subramaniam yang turut mengesahkan bahawa MIC tidak akan menukar kerusi dengan parti komponen BN yang lain.
“Di MIC, keputusan Presiden adalah muktamad. Tetapi, kami di sini (Melaka) akan berasa lebih selesa sekiranya pucuk pemimpin BN mempertimbangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru di Melaka.”
“Bagi kami DUN Gadek lebih bersentimen ‘Melayu’. Saya tidak bersikap rasis. Tetapi apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah Umno mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding MIC pada PRU 14 akan datang di DUN Gadek,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan namanya.
Tambahnya, sebaliknya MIC mempunyai peluang yang baik di DUN Rembia yang kini mempunyai lebih 2,600 pengundi India setelah Surahanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan persempadanan semula.
“Adalah sangat realiti, kekuasaan MIC adalah kerusi bercampur dimana DUN Rembia adalah agak seimbang berbanding Gadek mahupun Asahan.”
Asahan merupakan kerusi DUN tradisional MIC sebelum tukar kepada Umno (Gadek) pada PRU13 yang lalu. Pada PRU 13 yang lalu, calon MIC MS Mahadevan memenangi kerusi Gadek dengan agak selesa setelah menewaskan calon PKR G Rajandran.
“Saya percaya MIC kemungkinan besar akan menghadapi saingan kali ini sekiranya PKR bercadang untuk meletakkan calon Melayu. Ia akan menyukarkan MIC untuk menawan hati pengundi Melayu di kawasan Gadek,” katanya.
Sumber turut mengesahkan bahawa disebalik PKR, parti Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut bekerja keras di Gadek.
“Jadi pada pendapat saya adalah wajar kita mencari kerusi baharu berbanding cuba mempertahankan Gadek,” tegas beliau yang merupakan seorang pemimpin MIC veteran di Melaka.
Beliau turut menekan calon MIC, di mana penyandang DUN Gadek, Mahadevan kemungkinan tidak akan diberi peluang untuk bertanding kali ini, berikutan kemelut dalaman MIC.
Secara umum, Mahadevan dikenali sebagai ‘orang Palanivel’ (bekas Presiden MIC) walaupun, beliau kini bekerjasama dengan Subramaniam.
“Kami pemimpin akar umbi di Melaka menyerah perkara kepada pucuk pimpinan MIC dan BN bagi membuat satu keputusan yang menguntungkan semua pihak (Umno dan MIC),” jelasnya lagi.
Pada PRU yang lalu, kerusi Asahan dimenangi oleh Abdul Ghafar Atan, manakala Rembia dipertahankan oleh Norpipah Abdol dengan majoriti 3,857 dan 2,358 masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan