Isnin, 13 Februari 2017

Presiden FAM: TMJ vs Annuar Musa

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerusi panas nombor 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjadi perebutan antara Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.
 
Perkara itu dimaklumkan badan induk berkenaan hari ini, selepas kedua-dua pemimpin itu mengesahkan pencalonan mereka. 
 
Ini bermakna, TMJ bakal menentang Annuar dalam Kongres FAM Ke-53 yang akan berlangsung pada 25 Mac ini.
 
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi bagaimanapun berkata, kedua-dua calon yang sah bertanding masih boleh menarik diri sehingga kongres tersebut berlangsung.
 
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat dikatakan turut sama akan berentap bagi jawatan nombor satu badan induk itu. 
 
Bagaimanapun Khairy mahupun Aseh tidak mengesahkan pencalonan selepas ia ditutup pada pukul 5.30 petang tadi.
 
Khairy dilaporkan sebagai berkata, pendiriannya selaras dengan janjinya sebelum ini untuk memberi laluan kepada TMJ atau proksi beliau mengisi kerusi nombor satu FAM itu. 
 
Sementara itu, Utusan Online melaporkan,  empat calon sah bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM, sembilan calon Naib Presiden FAM, 17 calon Exco (lelaki) dan tujuh calon Exco (wanita).

Tiada ulasan: