SHAH ALAM: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri
sebagai BEBAS hari ini menggesa semua wakil rakyat mengundi 'tidak'
terhadap usul yang akan dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
bagi memperkasakan mahkamah syariah.
Hadi bakal membawa Rang Undang-Undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) pada sidang parlimen, Mac depan.
Dalam satu kenyataan, BEBAS berkata ahli Parlimen tidak boleh
mendiamkan diri dengan bersikap berkecuali atau tidak hadir ke Parlimen
ketika pengundian dijalankan.
"Sekiranya YB berdiam diri atau menyokong pindan RUU355 ini, bahawa
bermakna bahawa YB membolehkan ketidakadilan belaku terhadap setiap
komuniti YB sendiri," kata badan itu.
BEBAS juga mengulangi hujah bahawa 'pemerkasaan' kuasa Mahkamah Syariah
hanya akan melebarkan jurang perbezaan antara layanan dari segi
undang-undang terhadap mereka yang beragama Islam dan mereka yang bukan
Islam.
"Sebagai sebuah negara majmuk kaum dan agama, kami berpendapat bahawa
prinsip keadilan sosial yang paling penting adalah untuk semua
warganegara Malaysia dilayan samarata di sisi undang-undang.
Malah dakwa NGO itu lagi, Hadi sejak mencetuskan usul berkenaan, tidak
sekalipun menyokong usul beliau dengan bukti kukuh potensi keberkesanan
cadangan pindaan Akta 355.
"Sebagai anggota Parlimen dan wakil rakyat, sebarang perubahan polisi
atau undang-undang hendaklah berdasarkan bukti keberkesanan hasil
penyelidikan atau eksperimen oleh ahli akademik universiti ternama
dunia, ataupun telah dilaksanakan di negara-negara lain dan mempunyai
impak positif kepada masyarakat.
"Kami difahamkan bahawa tujuan asal RUU 355 adalah untuk mengurangkan
kejadian jenayah sosial dan masyarakat. Kami menegaskan bahawa
memberikan hukuman yang lebih berat berbentuk punitif adalah tidak
berkesan sama sekali.
"Kami berpendapat bahawa melihat kepada konsep menghukum semata-mata
tanpa usaha untuk rehabilitasi dengan cara baik dalam bidangkuasa
Mahkamah sedia ada adalah tidak berkesan. Penambahan hukuman tidak akan
menjamin pengurangan pesalah-pesalah jenayah Syariah baru atau pesalah
ulangan," kata BEBAS.
Badan itu sebaliknya tampil dengan cadangan supaya kerajaan mencontohi
Norway, Sweden, Sepanyol dan Belanda yang mempunyai kadar jenayah sangat
rendah sehingga penjara ditutup atau ditukar menjadi rumah perlindungan
pelarian.
Badan itu malah membuat perbandingan dengan negara barat yang mana
mencapai piawaian Indeks Ekonomi Islamik berbanding negara Islam
sendiri.
"Mengikut hasil penyelidikan Houssain Askari, ahli akademik daripada
Universiti George Washington bertajuk Indeks Ekonomi Islamik mendapati
bahawa berdasarkan kajian lebih 208 buah negara, Ireland adalah negara
paling Islamik di dunia.
"Melihat kepada Indeks Ekonomi Islamik, 10 negara teratas di mana
polisi dan pencapaian negara yang mencerminkan ajaran ekonomi Islam
adalah - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New
Zealand, Singapore, Finland, Norway, dan Belgium.
"Antara semua negara Islam di dunia, Malaysia di tangga teratas Negara Islam di No. 33, Kuwait kedua di Tangga No. 48.
"Kenapa Malaysia hendak melihat kepada negara-negara yang gagal seperti
Arab Saudi, Nigeria, Zimbabwe dan sebagainya yang dirujuk sebagai
negara Islam yang mengamalkan hukuman Syariah yang dikehendaki?," soal
badan itu.
BEBAS sebelum ini mengumumkan akan menganjurkan himpunan balas bagi menunjukkan bantahan terhadap usul Hadi.
Perhimpunan itu akan diadakan pada hari yang sama dengan Himpunan 355
anjuran secara bersama oleh PAS, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis,
pada 18 Februari ini.
Himpunan balas oleh BEBAS itu dijangka diadakan di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan