SHAH ALAM: PAS perlu menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian susulan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana
pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.
PKR yang mengetuai pentadbiran di Selangor mempunyai hubungan politik dengan DAP dan Amanah selain PAS, ujar Mahfuz.
“Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti mana parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP
dan Amanah, malah telah menanda tangani 'perjanjian kerjasama politik'
untuk meranapkan kuasa politik Umno/BN pada PRU ke-14 nanti.
“Oleh itu secara prinsipnya hubungan kerjasama PAS dan PKR yang sedia
terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh
Presiden PAS,” katanya. dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, PAS tidak perlu menunggu hingga muktamar parti itu pada
April nanti untuk menentukan kedudukannya dalam hubungan kerjasama
dengan PKR.
Ahad lalu, Hadi menutup rapat pintu bekerjasama dengan PPBM walaupun
rundingan berterusan diadakan oleh pemimpin kanan kedua-dua pihak.
Presiden PAS itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mempunyai sebarang
kaitan dengan pihak yang bekerjasama dengan DAP dan parti serpihannya,
Amanah.
Mahfuz berkata implikasi lebih besar juga bermakna bahawa PAS perlu
melepaskan semua jawatan jawatan lantikan politik dengan segera secara
berprinsip.
Ini termasuk jawatan exco, ahli majlis kerajaan tempatan, jawatankuasa
kemajuan keselamatan kampung (JKKK), ketua kampung, syarikat berkaitan
kerajaan (GLC.
“Adalah lebih baik untuk PAS mengelakkan dari apa-apa persepsi atau
tanggapan serong yang menampakkan PAS masih sayang pada kebendaan dan
ketamakan kuasa yang diperolehi hasil dari kedudukkan dalam pentadbiran
kerajaan negeri Selangor.
“Sudah sampai masanya (Pesuruhjaya PAS Selangor) Datuk Iskandar Abdul
Samad yang juga naib presiden PAS dan rakan-rakan exco kerajaan negeri
dari PAS melepaskan jawatan exco dan apa-apa jawatan lantikan politik
yang berkaitan,” katanya.
Mahfuz juga melahirkan rasa sayu dengan sedihnya dengan pendirian Hadi
itu ketika rakyat mengharapkan satu pakatan gabungan kekuatan parti
pembangkang untuk meranapkan dan menamatkan kuasa politik Umno/BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan