Selasa, 14 Februari 2017

Dego Ride diberi 7 hari bincang dengan kerajaan

ANTRAPOS.COM

Post Pic


SEPANG: Syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride diberi masa 7 hari untuk tampil berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung perkhidmatan itu, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, tegasnya, kementerian tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang.

“Tiada keraguan dalam larangan Dego Ride. Ia adalah sangat jelas. Kerajaan dan kementerian sudah membuat keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan ini memandangkan ia berbahaya kepada keselamatan penumpang.

“Kementerian sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil syarikat itu tampil memberi penjelasan,” katanya selepas majlis pecah tanah Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara (KL ATCC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya permintaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj supaya diberi peluang membahaskan isu perkhidmatan teksi motosikal itu yang dilaksanakan sejak November lalu.

Semalam, Liow berkata, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas, namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62% kepada kemalangan maut pada tahun lalu.


Tiada ulasan: