Jumaat, 10 Februari 2017
PAN Akan Bertanding 30 DUN & 6 Kerusi Parlimen Di Kelantan
Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan akan bertanding di 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 6 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya akan memberi tumpuan ke atas kawasan PAS dan mengesahkan partinya bakal bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kota Bharu dan Kubang Kerian.
“Kita bercadang bertanding di peringkat DUN tidak lebih dari 30 kerusi dan di peringkat Parlimen tidak lebih dari enam kerusi antaranya Kota Bharu dan Kubang Kerian, itu kita sahkan lah,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, maksimum kerusi Parlimen yang akan ditandinginya adalah enam daripada 14 kerusi di Kelantan.
Bagaimanapun, katanya, PAN akan berbincang dengan PPBM terlebih dahulu berkaitan aspek pembahagian kerusi itu.
Manakala kerusi yang ditandingi oleh PKR di Parlimen dan DUN dalam PRU13 ketika era Pakatan Rakyat akan terus dikekalkan.
“Selebihnya, kita akan bincang dengan BERSATU dan PKR kita kekalkan status-quo.
“Jadi kerusi PKR tiga Parlimen dan lima DUN itu yang dia pernah bertanding ketika Pakatan Rakyat kita tidak usik,” katanya.
Sebelum ini, PKR bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Parlimen Ketereh, Machang dan Tanah Merah manakala di kawasan DUN pula ialah Pengkalan Kubor, Guchil, Nenggiri, Paloh dan Kuala Balah.
Jelasnya, PAN akan memfokuskan di kawasan yang dimenangi PAS manakala PPBM pula akan bertanding di kawasan yang dimenangi UMNO.
“AMANAH akan fokus pada kawasan yang dimenangi PAS dan BERSATU fokus pada kawasan UMNO menang,” katanya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan