Jumaat, 10 Februari 2017

Rumah sama, peliknya undi di DUN berbeza

DETIK DAILY



Bersih 2.0 telah menemui kepincangan baru dalam daftar pemilih, di mana pengundi-pengundi dari kediaman yang sama telah didaftarkan di lokaliti, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan parlimen yang berbeza sama sekali.

 Kami amat kesal kerana masih wujudnya keraguan dalam status pengundi di dalam daftar pemilih. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang-kali mendakwa bahawa mereka telah membetulkan daftar pemilih, namun menjelang setiap suku tahun, pasukan analisa Bersih akan menemui kesilapan dan kepincangan baru berserta dengan kesalahan lama.

Ketidakcekapan SPR cuma mengundang lebih kesangsian terhadap kesahihan dan keadilan cadangan persempadanan semula.

Fuziah Salleh, ahli parlimen Kuantan, mengadu kepada Bersih 2.0 dan telah menghasilkan bukti-bukti yang menunjukkan kesilapan daftar pemilih di kawasan parlimen beliau.

Contohnya, pengundi-pengundi yang menghuni satu kediaman yang sama di Jalan Beserah telah didaftarkan di DUN Beserah dan DUN Teruntum walaupun kedua-duanya DUN yang berbeza.

Apabila dipersoalkan, SPR memberitahu YB Fuziah bahawa maklumat pengundi dimasukkan ke dalam sistem daftar pemilih secara manual tanpa sebarang pautan pintar atau GPS untuk memadankan pengundi kepada sempadan atau DUN yang betul. Perkara ini secara langsung melemahkan daftar pemilih.

Dengan sistem yang kuno dan penuh dengan kesilapan, SPR tidak dapat memenuhi tanggungjawab asas untuk memastikan setiap warganegara Malaysia boleh mengundi dan mengundi dengan betul.

Percanggahan ini boleh ditangani dengan menggunkan pendaftaran pengundi automatik, iaitu salah satu pengesyoran Bersih 2.0 sejak tahun 2007 yang tidak diendahkan oleh SPR.

Lagipun, proses persempadanan semula yang sedang berlangsung tidak ada ertinya bererti jika SPR tidak berupaya memasukkan pengundi berdasarkan sempadan yang betul.

Percanggahan yang dijumpai di Kuantan bukanlah kejadian yang terpencil. Ekoran pendedahan Fuziah, Lee Wee Tak, pakar rujuk Bersih 2.0 telah membuat penyisasatan lanjutan dan berjaya menemui kes-kes yang serupa di Johor, Sabah dan Perak.

Walaupun sesetengah ketidaktepatan yang dijumpai di sistem yang serba kekurangan ini boleh disifatkan sebagai kesilapan manusia, Bersih 2.0 tidak menolak kemungkinan berlakunya gangguan secara sengaja untuk memanfaatkan satu pihak tertentu semasa pilihan raya kerana kejadian seperti ini sentiasa berlaku berlaku.

SPR patut membaikpulih dan memperelokkan sistem mereka dan bukan menyalahkan imej buruk mereka atas sebab persepsi negatif.

* Kenyataan ini dikeluarkan ahli-ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0

Tiada ulasan: