Selasa, 7 Februari 2017

Najib, Zahid terpaksa pikul beban akibat tindakan pemimpin Umno, kata Syed Ali

 Berita Daily Staff
 
 
Segelintir kepimpinan parti Melayu itu mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir panjang yang berbau kepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu dan menjejaskan kredibiliti Umno.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Najib Razak dan Timbalan Presiden Dr Ahmad Zaid Hamidi terpaksa memikul beban kesan perbuatan segelintir kepimpinan parti Melayu itu yang menjejaskan kredibiliti parti, kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, pemimpin Umno perlu menunjukkan keperibadian yang baik dan tidak ghairah mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti parti di mata rakyat kerana setiap perlakuan dan kenyataan mereka menjadi cerminan yang mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti.

“Rakyat terutama anak-anak muda sedang memerhati tingkah laku dan perbuatan pemimpin politik termasuk Umno, kalau buruk, buruklah tanggapan mereka,” katanya, dalam satu kenyataan di laman blog miliknya, hari ini.

Walaupun perkara itu dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi perlakuan pemimpin Umno di setiap peringkat akan menjadi kayu pengukur kepada masyarakat menilai sejauhmana perangai dan akhlak mereka.

Beliau berkata implikasinnya akan terpalit kepada parti dan sedikit-sebanyak mengundang ketidak percayaan rakyat terutama sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin hampir.

“Keadaan menjadi bertambah sukar apabila rakyat bukan sekadar mempertikaikan kredibiliti pemimpin terbabit, sebaliknya secara tidak langsung mereka meletakkan rasa benci dan marah terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno,” tegasnya.

Beliau berkata, adakalanya umum menunding jari kepada Najib dan Dr Ahmad Zahid, yang terpaksa memikul beban kesan daripada perbuatan tersebut.

“Kita tidak mahu ini berlaku, apabila ada perlakuan  pemimpin Umno menyakitkan mata rakyat, mereka meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu Najib, ini sudah tentu tidak adil dan membebankan parti,” tegasnya lagi.

Menurut Syed Ali, dalam kedaan persekitaran politik Umno yang berdepan dengan cabaran cukup getir, setiap pemimpin perlu menzahirkan tindakan  yang selari dengan presiden parti.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal kerana kadangkala terdapat beberapa kenyataan daripada pemimpin yang dilihat tidak menyumbangkan kebaikan kepada parti dan kepimpinan tertinggi.

“Ada yang mendakwa, sejak akhir-akhir ini seperti satu kecenderungan pemimpin parti yang lebih gemar mengeluarkan kenyataan berbau kepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu,” tegasnya.

Apabila kecenderungan itu tidak terkawal, beliau bimbang akan menebalkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap Umno dan akhirnya menghakis keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap parti.

Dalam suasana untuk berdepan dengan blok pembangkang, Syed Ali menambah semua peringkat kepimpinan parti sewajarnya mengambil pendirian yang selari dengan kepimpinan presiden dengan menyusun gerakan besepadu menentang pihak lawan.

Sebagai contoh kata beliau, Najib baru-baru telah mengingatkan setiap pemimpin parti supaya meningkatkan usaha mendekati rakyat terutama pengundi di kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU ke-14.

Justeru kata beliau, ingatan tersebut perlu ditermejahkan di peringkat akar umbi dengan menyantuni rakyat bagi mengikis tanggapan kononnya mereka hanya dikunjungi apabila tarikh pilihan raya semakin hampir.

“Ini yang kita kena ubah, kita perlu dekati rakyat dan golongan sasaran bukannya secara bermusim. Menjadi tanggungjawab pemimpin Umno untuk meleraikan kekusutan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat,” tegasnya.

Tiada ulasan: