Selasa, 7 Februari 2017

Johor akan kemuka semula permohonan bina HSA 2


Bernama 
 
 





Kerajaan negeri juga bercadang mewujudkan wad swasta di HSA 2 sekiranya diluluskan untuk pembinaan.


 Kerajaan negeri juga bercadang mewujudkan wad swasta di HSA 2 sekiranya diluluskan untuk pembinaan.

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengemukakan semula permohonan bagi membina Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Exco Kesihatan dan Alam sekitar negeri, Ayub Rahmat berkata permohonan itu dibuat bagi menampung peningkatan jumlah pesakit di HSA sedia ada, selain mengekang pengaliran keluar doktor pakar daripada hospital kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bercadang mewujudkan wad swasta di HSA 2 sekiranya diluluskan untuk pembinaan.

“Kita cadang untuk buat wad swasta bagi mengekang pengaliran keluar doktor pakar daripada hospital kerajaan.

“Ia juga membolehkan pesakit mendapat rawatan kelas pertama seperti di hospital swasta dengan kadar lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar COMBI Pasir Gudang di Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, ia akan mewujudkan peluang kepada doktor pakar bagi menambah pendapatan tanpa perlu berpindah atau berhenti.

“Mungkin ada yang mendapat tawaran daripada hospital swasta yang lebih tinggi berbanding gaji standard oleh kerajaan, jadi mereka pilih untuk berhenti.

“Menerusi wad swasta ini, kita beri peluang untuk mereka guna kepakaran di wad swasta. Ini merupakan situasi menang-menang buat mereka kerana masih berkhidmat dengan kerajaan dan mampu meningkatkan pendapatan,” katanya.

Sebelum ini, permohonan untuk membina HSA 2 pernah dibuat pada 2015 juga di bawah RMK11 tetapi tidak mendapat kelulusan.

Dalam pada itu, Ayub juga memaklumkan status operasi semula wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSA yang terbakar pada Oktober tahun lepas, hanya akan diketahui selepas menerima laporan keputusan daripada suruhanjaya bebas.

Selain itu, pihaknya juga sedang menunggu kelulusan peruntukan bagi kerja pembaikan di wad berkenaan dijalankan.

Tiada ulasan: