Selasa, 7 Februari 2017

Jamal letak jawatan kerana sayangkan Umno

Oleh  Haizal Yatiran
Post Pic

AMPANG: Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengumumkan mahu meletakkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar kerana bimbang parti menerima kesan negatif daripada tindakannya sebelum ini.

"Jadi, tindakan kepada saya mengikut undang-undang yang sedia ada, kami redha dan pasrah. Dan sebab itulah saya tidak mahu melibatkan apa yang berlaku kepada saya ini (terkesan) di dalam Umno.

"Saya bergerak dengan rakan-rakan di bawah NGO. Sebab itulah semalam saya mengumumkan berhasrat meletakkan jwatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar.

"Kerana saya tidak mahu saya sebagai individu dipalitkan dengan politik atau parti Umno,” katanya dalam satu sidang media khas di perkarangan rumahnya di Ampang hari ini.

Beliau yang mengumumkan perletakan jawatan tersebut semalam, bagaimanapun memberitahu media hari ini bahawa pihaknya masih menunggu keputusan daripada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan tersebut.

"Jadi, saya menyerahkan keputusan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian yang dipilih oleh rakan-rakan yang berada di kiri kanan dan belakang saya ini kepada Pengerusi Perhubungan Negeri, Tan Sri Noh.

"Jadi, saya amat terharu dengan sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Umno ini,” katanya.

Berkenaan kenyataan sinisnya semalam berkenaan hasratnya untuk memulakan perniagaan judi, Jamal berkata hasratnya sekadar untuk memberitahu kepada umum bahawa kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Datuk Seri Azmin Ali lebih mudah memberikan lesen kepada perniagaan seperti judi, berbanding perniagaan lain.

"Saya nak lihat sebenarnya betapa mudahnya untuk mendapatkan lesen (judi) berbanding mengusahakan hotel yang sah. Saya mengusahakan hotel lima tahun memohon lesen, disaman dan sebagainya.”

Sementara itu, turut hadir dalam sidang media tersebut, Setiausaha Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Ahmad Samsuri Ahmad Mukri bersama beberapa pimpinan tinggi Umno Sungai Besar menyatakan bantahan terhadap keputusan yang diambil oleh Jamal.

Mereka mahu pemimpin Umno itu mengekalkan jawatan yang dipegangnya kini.

“Kami daripada Umno Bahagian Sungai Besar, seluruh lapisan kepimpinan Umno hari ini menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Jamal Yunus untuk memimpin Umno Sungai Besar.”

Semalam, Jamal bersama sembilan pengikutnya dilepaskan daripada tahanan reman selama lima hari bagi membantu siasatan terhadap kes samun bersenjata di salah sebuah pusat hiburan di Ampang.

Laporan polis yang dibuat terhadap Jamal dan pengikutnya sejurus satu ‘serbuan’ daripada Jamal terhadap kedai-kedai judi di sekitar Ampang.

Tiada ulasan: