Selasa, 7 Februari 2017

Nautical Alya tidak dibenarkan masuk Teknaf

Bernam
 
Kapal membawa bantuan 2,300 tan metrik makanan tidak dibenarkan masuk berikutan faktor keselamatan serta saiz kapal yang besar.

DI ATAS KAPAL ‘NAUTICAL ALIYA’ DI PERAIRAN MYANMAR: Kapal ‘Nautical Aliya’ yang membawa 195 sukarelawan dalam  misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ tidak dibenarkan memasuki Teknaf, Bangladesh.

Ketua misi Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya tidak dibenarkan masuk berikutan faktor keselamatan serta saiz kapal yang besar.

Menurutnya, kerajaan Bangladesh memberi tiga tempat lain iaitu pulau Saint Martin, Kutubdia dan Chittagong sekiranya ingin memasuki negara itu.

“Saya terima surat dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh yang memaklumkan di tiga tempat itu sukarelawan tidak dibenarkan turun dari kapal.

“Kami ingin turun dan serah bekalan makanan, harapnya kerajaan Bangladesh memberi kebenaran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berharap Perdana Menteri Najib Razak dapat membantu untuk mendapatkan kembali kelulusan untuk menghantar bekalan kepada etnik Rohingya di Teknaf.

“Pada awalnya kita telah dapat ‘Visa On Arrival’ dan semua boleh turun untuk membantu etnik Rohingya.
“Sekarang semua tidak dibenarkan turun, kami hanya ingin laksanakan ibadah iaitu hantar bantuan kemanusiaan,” katanya.

Pada 4 Feb lepas, Kementerian Luar mengesahkan bahawa kerajaan Bangladesh bersetuju membenarkan kapal misi bantuan kemanusian itu berlabuh di Pelabuhan Teknaf.

Kebenaran itu diberi berikutan pertemuan antara Menteri Luar

Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia Md Shahidul Islam.

Misi yang masuk hari kelima ini membawa 2,300 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

Misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Ia disertai kira-kira 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil NGO tempatan dan luar negara.

Tiada ulasan: