Rabu, 15 Februari 2017

Jamil Khir hadir sampaikan tazkirah di Himpunan 355

MALAYSIA DATELINE
 
 
Jamil Khir BaharomJamil Khir Baharom

Kerjasama Umno dan Pas dipereratkan lagi dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Himpunan 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Jamil yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno ialah antara pemimpin kerajaan BN yang akan turut menyertai perhimpunan raksasa cetusan Pas itu.

Berita gembira ini diumumkan Pengarah Himpunan 355, Nasrudin Hassan pada sidang media di Galeri Harakah, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, lapor Harakahdaily.

Kehadiran Jamil ke himpunan itu nanti, ujar Nasrudin adalah di atas kapasiti sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Buat masa ini Datuk Jamil Khir yang mengesahkan akan hadir pada himpunan itu. TPM (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mungkin ke Sarawak kerana PRK," kata Nasrudin yang juga Ketua Penerangan Pas.
Menurut Nasrudin, Jamil akan bersama-sama peserta himpunan bermula solat Maghrib dan Isyak berjemaah kemudian menyampaikan tazkirah.

Beliau mendakwa, himpunan itu bukan anjuran Pas sebaliknya dianjurkan Sekretariat H355 yang terdiri daripada 10 NGO iaitu Iktihad, Kongres Rakyat, Majlis Profesor Muslim, Peguam Muslim dan Geng Ustaz.

"Jadi kita jemput semua. Saya sebagai pengarah himpunan kita jemput semua tidak perlu detail. Datanglah, ini bukan majlis walimah. Tidak perlu tanya parti dapat surat atau tidak, datang kerana hendak sokong RUU355.

"Tidak kira parti sebab penganjur daripada NGO ianya melibatkan semua, misalnya rakan daripada Umno pun datang kerana mereka duduk di dalam NGO. Kita tidak ambil kira parti," katanya apabila diajukan pertanyaan sama ada sekretariatnya turut mengundang parti-parti politik ke himpunan itu nanti.

Para pemimpin Umno dan Pas juga kini menyertai misi Food Flotilla For Myanmar bagi menyampaikan bantuan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

Antara pemimpin utama Pas yang menyertai program anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Mapim itu ialah ketua muslimat Pas Pusat Nuridah Mohd Salleh, timbalan ketua pemuda Pas Pusat Mohd Khalil Abdul Hadi, juga ahli jawatankuasa Pas Pusat Sanusi Mohd Nor dan Dr Riduan Md Nor.

Ahli majlis tertinggi Umno yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Raheem mengetuai misi tersebut.

Turut berada di atas kapal ialah timbalan menteri luar Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

Tiada ulasan: