Khamis, 2 Februari 2017

Guan Eng tolak cadangan Pulau Pinang menjadi Wilayah Persekutuan

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic


GEORGETOWN: Sebagaimana dijangka, Ketua Menteri Lim Guan Eng, hari ini menolak cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP itu, berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan rundingan bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan tidak pernah dibuat.

"Kenyataan yang dibuat Tengku Adnan untuk menyatukan negeri ini di bawah pentadbiran Putrajaya tidak pernah dirunding, malah saya tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.

"Saya yakin, negeri yang terbabit dalam cadangan Tengku Adnan itu seperti Kedah dan Melaka juga turut tidak akan setuju dan gembira dengan perkara ini," katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kenyataan Tengku Adnan untuk menggabungkan Pulau Pinang adalah tidak selaras dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Pulau Pinang adalah negeri yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Mengikut Perkara 1 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang adalah antara 13 negeri yang terdiri dalam negeri-negeri persekutuan. Oleh itu, cadangan untuk menggabungkan negeri ini adalah tidak wajar dilakukan," katanya.

Tiada ulasan: