Apabila beberapa hari lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad
memberi amaran "tunggu" kepada ahli-ahli politik yang korup, hampir
tidak ada yang menyangka mangsa pertamanya ialah Annuar Musa.
Dengan kedudukan sebagai Ketua Penerangan UMNO, lebih-lebih lagi
beliau dilantik ke jawatan itu menggantikan Ahmad Maslan di
tengah-tengah kehangatan serangan oleh Tun Mahathir Mohamad terhadap
Najib Razak, hukum akalnya beliau adalah tokoh pilihan dan tentulah akan
sentiasa dilindungi oleh Perdana Menteri.
Jika pun beliau didapati melakukan apa-apa kesalahan yang ketara
dan tidak boleh dilindungi, langkah yang biasa diambil ialah
menasihatkannya berundur secara sukarela. Dengan yang demikian, bukan
saja beliau akan diselamatkan, malah faktor jawatan yang disandangnya
itu mungkin memberi kesan negatif kepada parti dapat dielakkan, selain
yang lebih utama nama Perdana Menteri yang melantiknya juga akan turut
terpelihara.
Tetapi, apa yang menimpa Annuar semalam memang mengejutkan dan
luar biasa. Pertama kali dalam sejarah Mara, malah sejak Rida
ditubuhkan, Pengerusinya diperlakukan sedemikian rupa.
Annuar digantung tugas mulai semalam dalam satu mesyuarat khas
tanpa kehadirannya yang diadakan ketika beliau berada di New Zealand
menjalankan tugas rasmi selaku Pengerusi Mara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob yang
bertanggungjawab kepada Mara, dalam kenyataan medianya mengatakan
penggantungan itu adalah proses biasa bagi membolehkan audit dalaman
menjalankan siasatan terhadap Annuar.
Pada lewat petang semalam pula, SPRM mengesahkan bahawa Annuar
kini sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan penyelewengan berhubung
tajaan oleh Pelaburan Mara Bhd dan UniKL kepada pasukan bolasepak
Kelantan di mana Annuar dipercayai ada kepentingan di kedua-dua belah
pihak.
Sebagaimana yang disebut dalam posting sebelum ini, maka kini
tidak mustahil kepulangan Annuar di KLIA Khamis nanti akan disambut oleh
pegawai-pegawai SPRM yang ingin menahan remannya, sekaligus
menjadikannya ahli politik pertama yang ditahan sejak meletusnya skandal
1MDB.
Persoalan ramai, mengapa Ismail Sabri selaku menteri memberi
kebenaran kepada Annuar diperlakukan sedemikian rupa sedangkan beliau
sedar kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO dan merupakan antara
orang kesayangan Najib?
Mengapa tidak Annuar dinasihatkan berundur secara baik, jika pun
beliau mahu dihadapkan kepada audit dalaman Mara atau mahu disiasat oleh
SPRM?
Mengapa tindakan gantung jawatan, bahkan ketika beliau melakukan
melakukan tugas rasmi menjadi pilihan yang tentunya memalukan dirinya,
UMNO dan juga Najib?
Semua orang tahu Ismail Sabri Yaakob bercita-cita untuk bertanding
jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO akan datang. Di
kalangan warga UMNO, keinginan Ismail Sabri itu bukan lagi rahsia, malah
dalam program lawatannya ke beberapa negeri kebelakangan ini, beliau
didapati "menyelam sambil minum air" dengan bertemu pemimpin-pemimpin
UMNO di setiap negeri yang dilawatinya.
Sekiranya UMNO terus menang PRU 14, Zahid Hamidi sudah tentu akan
mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sekarang dipangkunya. Dengan
demikian, hanya tinggal Hishammuddin Hussein selaku penyandang Naib
Presiden dan bermakna ada dua kekosongan bagi jawatan tersebut.
Jika Hishammuddin menentang Zahid pula, lagilah ketiga-tiga kerusi
Naib Presiden ada kekosongan. Di sinilah Ismail Sabri merasakan beliau
ada peluang untuk menempatkan dirinya di jawatan ketiga penting dalam
UMNO itu.
Tetapi, Ismail Sabri bukanlah pemimpin yang benar-benar ada
karektor untuk pergi lebih jauh dalam politik dan kerajaan. Beliau
hanyalah pemimpin biasa-biasa saja. Sebab itu, beliau perlukan lonjakan
untuk menjadikannya sentiasa popular dan diingati.
Lantang dalam isu Low Yatt, mewujudkan Mara Digital dan mengatur
perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk menyatakan sokongan kepada
Najib dalam isu 1MDB dan derma RM2,600 juta sebelum ini adalah antara
langkah yang dipercayai dilakukan oleh Ismail Sabri untuk mempopularkan
dirinya.
Baru-baru ini pula Ketua Setiausaha kementeriannya ditahan oleh
SPRM atas dakwaan rasuah. Meskipun penahanan itu tidak melibatkan
beliau, tetapi hubungan rapatnya dengan Ketua Setiausaha itu telah pun
menjadi bualan ramai dalam UMNO sehingga dikatakan sanggup membawanya
sama berpindah dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sekarang ini untuk bersama
di bawah satu kementerian dengannya.
Apabila Annuar sendiri membuat dakwaan bahawa mesyuarat khas Ahli
Majlis Mara yang menggantungnya semalam diadakan dengan restu menteri,
tidak mustahil ia dalam masa yang sama juga bertujuan melonjakkan nama
Ismail Sabri.
Dengan sebelum ini mengatakan kes tajaan kepada bolasepak Kelantan
telah menjejaskan nama Mara, penggantungan Annuar pula dengan
sendirinya mampu melonjakkan lagi nama Ismail Sabri dalam konteks
memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam di bawah kementeriannya.
Namun, tidakkah tindakannya itu seolah-olah "mengenakan" Najib
kerana Annuar adalah pilihan Najib sebagai Ketua Penerangan UMNO?
Sebagai menteri yang biasa-biasa, Ismail Sabri tidak mungkin
berani bertindak luar biasa. Apa pun tindakannya, beliau mesti mendapat
kebenaran daripada Najib terlebih dahulu. Mustahil Ismail Sabri ada
kekuatan luar biasa untuk memberi kebenaran kepada Ahli Majlis Mara
mengadakan mesyuarat khas untuk menggantung Annuar tanpa mendapat lampu
hijau daripada Najib terlebih dahulu.
Jika begitu, kenapa Najib sanggup "mengenakan" Ketua Penerangannya sendiri?
Najib kini berdepan tekanan masyarakat berhubung isu 1MDB dan
derma RM2,600 juta yang dikaitkan dengan dirinya. Setiap hari sokongan
rakyat makin menyusut dan berkurangan terhadapnya.
Apabila Annuar, sebagai orang kanan UMNO sendiri disiasat, direman
atau didakwa kemudiannya, tukang-tukang kompang akan mengatakan itulah
buktinya Najib serius dalam menanangi rasuah sehingga orang kanannya
dalam UMNO sendiri pun tidak dilindunginya.
Orang kampung, makcik Felda dan pakcik kedai kopi mungkin menerima
logik sebegitu, lebih-lebih lagi jika dua atau tiga lagi ahli politik
turut dijadikan mangsa selepas ini.
Dalam keadaan begitu, ia sedikit-sebanyak akan memutihkan watak
Najib untuk menghadapi pilihanraya akan datang. Bermakna, dengan
"menghitamkan" Annuar, Ismail Sabri dapat melonjakkan popularitinya
serta dalam masa yang sama dapat pula "memutihkan" sedikit imej Najib di
mata rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan