Koh Jun Lin
Gaji menteri patut dikurangkan sejajar dengan suasana dan iklim
ekonomi semasa, kata bekas pengarah penyelidikan Institut Penyelidikan
Khazanah, Dr Muhammed Abdul Khalid.
Ujar beliau, ekonomi Malaysia belum terjebak dalam krisis namun tidak
berada dalam keadaan yang baik dan kerajaan telah pun mengambil
beberapa langkah penjimatan dengan pengurangan perbelanjaan.
"Satu-satunya perkara yang kita belum lihat sejak krisis ekonomi yang
terakhir adalah pemotongan gaji menteri-menteri yang sepatutnya
dilakukan, rasa saya.
"Ia adalah simbolik, bukan? Anda merasa sakit, kita berkongsi
kesakitan," jelas beliau kepada hadirin semasa forum yang dianjurkan
oleh kumpulan pemikir DAP, Refsa di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian selaku panel apabila ditanya sama ada ekonomi
Malaysia berada dalam krisis dan sama ada langkah-langkah penjimatan
perlu diambil.
Sebelum itu, seorang ahli panel lain yang juga bekas penolong gabenor
Bank Negara, Datuk Latifah Merican Cheong memberitahu forum itu gaji
penjawat awam termasuk para menteri telah dikurangkan sebanyak dua kali
semasa krisis ekonomi 1998. Ia bertujuan mengurangkan perbelanjaan
operasi keseluruhan kerajaan.
Beliau berkata, bank pusat pada masa itu juga telah mengenal pasti
beberapa projek besar dengan kandungan import yang tinggi menjadi punca
defisit perdagangan Malaysia sehingga menyebabkan kerajaan menangguhkan
projek yang mempunyai kandungan lebih daripada 40 import dalam
komponennya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan