Selasa, 16 Ogos 2016

PKR Bidas Presiden PAS, Nafi PH Pakatan Pelampau



zu-hadi

 LIHAT VIDEO DI SINI


PKR membidas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tersasar jauh apabila mendakwa bahawa Pakatan Harapan (PH) mengamalkan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat.


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin membela PH sebagai pakatan masa depan yang mengamalkan politik matang, sebaliknya mendakwa kenyataan Abdul Hadi itu bukan ciri amalan politik matang.

“Saya tak pasti tentang kenyataan (Abdul Hadi) itu. Sekiranya itu kenyataan dia saya ingat penilaian dia tu silaplah.

“Kita adalah parti masa depan yang akan buat perubahan. Dalam tempoh yang singkat kita amat tunjuk kematangan kita.

“Jadi kalau kita dianggap politik emosi dan sebagainya, itu (dakwaan Hadi) bukan politik matang. Jadi jauh sekalilah (dakwaan itu),” ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Abdul Hadi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAS Pusat pada Sabtu mengumumkan permuafakatan partinya dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang mengambil pendekatan jalur tengah di antara dua jalur politik ekstrim Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan menurut Abdul Hadi telah mengamalkan budaya politik lama iaitu politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli di kalangan rakyat.

Respon kenyataan Abdul Hadi itu, Ketua Wanita PKR itu berkata PKR akan tetap mahu meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS walaupun parti islam itu menolak politik lama yang dibawa Pakatan Harapan.

“Pada pendiran PKR gabungan PAS dengan IKATAN, terpulang pada dia (PAS) untuk nak menamakan (pakatan baru) dan sebagainya. Tapi yang penting PKR telah buat komitmen dan ketetapan yang kita akan berusaha untuk pastikan PRU14 ini kita akan ‘satu lawan satu’.

“Kita akan usahakan habis-habisan sebab inilah peluang kita yang terbaik untuk tumbangkan BN,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata PAS mengambil pendirian untuk tidak mencampuri tindakan PKR mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan dalam laporan Ketua Audit Negara, Mac lalu.

Beliau berkata tindakan itu adalah hak PKR sebagai parti politik pembangkang yang mendokong prinsip demokarasi di negara ini.

“Malaysia adalah negara demokrasi, negara yang bebas. Itu hak masing-masing (untuk PKR kemuka saman terhadap Najib berhubung laporan 1MDB),” katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak mengulas sama ada PAS akan turut serta dalam mengemukakan saman berkenaan terhadap Najib.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali akan mengemukakan saman terhadap Najib bagi mendesak mahkamah campur tangan berhubung siasatan laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang masih lagi menjadi akta rahsia rasmi kerajaan (OSA).

Menurut maklumat pegawai khasnya, Azmin dilaporkan akan mengemukakan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diwakili Ketua Biro Hal Ehwal Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Latheefa Koya.

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: