shahbudindotcom
Apa
bentuk landasan baru bagi Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin,
Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir untuk meneruskan perjuangan mereka
masih lagi menjadi persoalan dan tanda tanya ramai.
Pilihan yang ada hanya dua - menubuhkan sebuah parti baru atau menyertai mana-mana parti politik sedia ada?
Bersara dan membiarkan Najib Razak terus berkuasa, tentunya bukan pilihan bagi mereka.
Tun
Mahathir dikhabarkan sudah mula mengumpul pandangan rakan-rakan dan
beberapa pihak dengan mengadakan pelbagai pertemuan bagi tujuan
tersebut. Ramai yang difahamkan cenderung agar Tun Mahathir
menginisiatifkan sebuah parti baru dengan segera sebagai altenatif
kepada UMNO yang selalu disebutnya sudah menjadi parti Najib sekarang
ini.
Muhyiddin
pula, selain dilamar oleh Amanah dan PKR Johor untuk bersama-sama
mereka, beberapa pimpinan kanan PKR Pusat juga diberitakan ada
mengadakan pertemuan dengannya, baru-baru ini.
Sebelum
ini, sebaik dipecat daripada UMNO, Muhyiddin turut mengatakan sedang
melihat dengan teliti beberapa pilihan mengenai halataju barunya,
termasuk kemungkinan menubuhkan sebuah parti baru.
Seorang
orang kanan Muhyiddin bagaimanapun memberitahu, bekas Timbalan Perdana
Menteri itu masih belum membuat apa-apa pilihan lagi buat waktu ini.
Dengan
Tun Mahathir sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri serta
bertanggungjawab memulihkan UMNO setelah diharamkan pada 1988, Muhyiddin
berpengaruh di Johor, Shafie di Sabah dan Mukhriz di Kedah, apakah
pilihan yang sebaik-baiknya bagi mereka?
Menyertai
mana-mana parti politik mungkin jalan paling mudah dan tidak banyak
kerja yang harus dilakukan, tambahan lagi PRU 14 tidak sampai dua tahun
lagi tarikh tibanya.
Tetapi
penyertaan Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz dalam parti
politik sedia ada - tentunya PKR, DAP atau Amanah yang menjadi pilihan
utama, tidak terkecuali bakal menimbulkan masalah yang lain pula.
Ia
bukan saja mengenai parti mana yang harus menjadi pilihan, parti yang
disertai itu mungkin bergolak secara dalaman dan mudah dimanipulasi oleh
UMNO dan BN, bahkan juga akan menimbulkan kesangsian serta keraguan
kepada sebilangan ahli UMNO untuk turut sama menyertainya.
Bagi
ahli-ahli UMNO yang bersama dengan perjuangan Tun Mahathir dan sedang
"menyampah giler" dengan onar Najib, barangkali ramai antara mereka yang
keberatan untuk menjadi ahli PKR, DAP atau Amanah meskipun sedang
sehati sejiwa untuk sama-sama menjatuhkan Perdana Menteri.
Pilihan
yang terbaik tentunya ialah Tun Mahathir menggunakan segala kepakaran,
pengetahuan dan pengalamannya untuk menubuhkan sebuah parti baru yang
dipimpin oleh Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz yang kini tidak lagi bersama
dengan UMNO sebagai peneraju utamanya.
Dengan
adanya parti baru itu, bukan saja menyediakan wadah untuk mereka
meneruskan perjuangan, bahkan memudahkan untuk ahli-ahli UMNO untuk
beralih arah, keluar parti dan akhirnya menjadikan "UMNO-exit"
benar-benar menjadi kenyataan.
Memainkan
sentimen anti-Najib dan menyenaraikan sekian banyak kerosakan yang
sudah dilakukannya kepada UMNO dan negara, secara sifir mudahnya, pasti
tidak sukar membuatkan mereka yang jujur, ikhlas dan tidak terpalit
dengan dedak, untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dalam parti baru
itu.
Jika
Pas sendiri mengakui, setelah tertubuhnya Amanah, keahlian parti itu
berkurangan sekitar 200 ribu orang, rasanya "sap sap sui" saja untuk
parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir dan ditunjangi
Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz itu untuk mengalihkan antara 300 ribu
hingga 500 ribu ahli UMNO untuk bersama-sama mereka.
Parti
baru itu juga tidak perlu terlalu risau tentang jumlah keahliannya
kerana yang penting, melalui pengaruh Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie
dan Mukhriz, ialah mengajak rakyat yang tidak berparti dan atas pagar
untuk menyertai mereka menolak kepimpinan Najib.
Dalam
parti baru itu, Tun Mahathir tidak perlu memegang apa-apa jawatan,
cukup sekadar sebagai penasihat dan tidak perlu juga bertanding lagi
dalam pilihanraya akan datang.
Peranan
Tun Mahathir, selain penasihat dan perancang, beliau juga mesti
bertanggungjawab menjalinkan kerjasama lebih kukuh antara parti baru
itu dengan PKR, DAP dan Amanah melalui Pakatan Harapan untuk menjadikan
gabungan pembangkang lebih efektif dan diyakini sebagai alternatif
kepada kerajaan pimpinan Najib sedia ada ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan