Isnin, 4 Julai 2016

Sultan murka kerana tulisan saya

pen
Gambar hiasan.
 

PADA awal 1975, selepas setahun setengah berkhidmat dengan Berita Harian (BH) di Kuala Lumpur, saya dipindahkan ke Ipoh, Perak.

Tentunya saya gembira kerana saya sendiri yang memohon dan isteri saya pasti lebih gembira kerana dia dapat balik kampung dan tinggal bersama anggota keluarganya.

Sebenarnya, saya meminta jasa baik Ketua Pengarang BH, Tan Sri Abdul Samad Ismail @ Pak Samad pindahkan saya ke Pulau Pinang, negeri kelahiran saya kerana tidak tahan menanggung kos hidup yang tinggi di KL.

“Engkau pergi Ipoh. Tulis untuk NST (New Straits Times),” arah Pak Samad. Baru saya tahu, Pak Samad, orang yang nampak garang itu, rupa-rupanya ada juga perasaan belas kasihan. Beberapa hari kemudian, saya dan isteri pun balik ke Ipoh menaiki lori kecil, membawa almari dapur, pinggan mangkuk dan pakaian.

Tidak pula saya sedari pertukaran ke Ipoh itu akan disusuli dengan 11 lagi pemindahan dari sebuah negeri ke negeri lain dalam tempoh 31 tahun berkhidmat dengan NST.

Memang seronok kerja di KL; banyak sumber berita, jumpa ramai orang. Kata orang bekerja di ibu pejabat ada kelebihan; senang naik pangkat sebab tiap-tiap hari berada depan mata bos.

Malangnya, kos hidup di KL tinggi, walaupun pada tahun 70-an. Sewa bilik pun sudah RM100. Rumah? Orang gaji kecil macam saya, dalam mimpi pun tidak mampu sewa sebuah rumah!

Dua tiga bulan di Ipoh, saya dan isteri tinggal di rumah mertua, sebelum kami sewa rumah pada kadar RM100 sebulan.

Alhamdulillah, lima tahun berkhidmat di Perak, banyak yang saya belajar, ramai yang saya kenal dan berbagai pengalaman saya lalui, yang menarik lagi mencabar.

Saya kira kalau tidak dipindahkan, besar kemungkinan saya akan melaporkan dalam bahasa Melayu sepanjang kerjaya saya dan tidak mampu menguasai bahasa Inggeris. Barangkali saya juga terlepas banyak pengalaman mencabar dan terlepas peluang menjelajah kawasan-kawasan pedalaman.

Banyak kes besar dan menarik dapat saya laporkan, seperti kes 50 peratus penduduk di tujuh kampung sekitar Kampung Gajah yang mengidap sakit untut, kes mahkamah melibatkan penari kabaret tersohor Rose Chan, hakim dibaling kasut dalam mahkamah dan kes Ketua Polis Perak ditembak mati dalam apa yang disyaki sebagai kes melibatkan anasir subversif dan banyak lagi.

Satu daripada laporan yang masih segar dalam fikiran saya adalah yang berkaitan dengan kemurkaan Almarhum Sultan Idris Shah berhubung dengan kes tidak angkat sumpah taat setia oleh enam Adun DAP di Dun Perak pada 1978 hingga beberapa pemimpin DAP meletakkan jawatan.

Saya menemu ramah Timbalan Setiausaha DAP, mendiang P Patto. Menurut beliau, keenam-enam Adun DAP itu - Pengerusi DAP Perak, Lim Cho Hock (Kepayang), Thee Ah Kow (Pasir Bedamar), Lim Nyit Sin (Kuala Pari), Young Keow Choo (Pantai Remis), Lee Kok Hoi (Kampar) dan beliau sendiri (Gopeng) - tidak melafazkan ikrar taat setia kerana mereka bukan rakyat Perak dan selaras dengan Perlembagaan Negeri, diizinkan Speaker supaya tidak melafazkannya.

Masalahnya, Sultan Idris dilaporkan sangat murka dengan perkara itu dan menyifatkan mereka penderhaka, mengikut adat resam orang Melayu.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” titah baginda.

Apabila isu kontroversi itu menjadi tajuk utama akhbar, tindakan dalam kalangan pemimpin DAP berbagai. Ada yang mula memberi penjelasan kepada media, ada yang berhasrat menemui Menteri Besar Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh dan Speaker, meminta sidang Dun disambung semula bagi bolehkan mereka angkat sumpah taat setia kepada sultan.

Seorang dua pemimpin DAP negeri terkesima dan menghubungi saya untuk dapatkan penjelasan mengenai isu itu. Saya jawab, saya tulis seperti apa yang mereka beritahu saya. Tidak lebih daripada itu.

Lim Kit Siang, selaku Setiausaha Agung DAP ketika itu, dilaporkan terkejut dengan perkara tersebut dan mengeluarkan kenyataan bagi pihak partinya, memohon ampun daripada sultan di atas peristiwa berkenaan dan menjelaskan bahawa mereka tiada langsung berniat memperkecilkan sultan atau tidak menghormati kedudukan baginda sebagai ketua negeri.

Beliau menjelaskan Perlembagaan negeri sebenarnya tidak mewajibkan mereka yang bukan rakyat Perak melafazkan ikrar taat setia, tetapi “mereka sepatutnya membaca ikrar taat setia itu”.

Kit Siang juga berhasrat menasihatkan Adun DAP mengangkat sumpah taat setia, tetapi rancangan itu tidak berlaku. Apa yang berlaku adalah ada beberapa pemimpin DAP negeri meletakkan jawatan.


Tiada ulasan: