Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN]
"Siasatlah dulu, kenapa takut sangat nak siasat saya berdepan. Tanya
saya apa salah saya bukan terus gantung macam itu," luah bekas Naib
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggantung
keahliannya tanpa siasatan, 24 Jun lalu itu dibuat ketika beliau sedang
mengerjakan ibadah umrah.
"Dalam bulan yang baik kita beramal saya pergi umrah; tak langsung
semasa saya hadir (mesyuarat) MT... tak ada tanya saya. Bila saya pergi
umrah gantung saya," katanya.
Bagaimanapun Shafie cuba mengambil pendekatan yang agak berfalsafah.
"Tapi tak apalah. Mungkin ini antara petunjuk Allah apabila saya tunaikan ibadah umrah dan berdoa di Masjid Nabawi.
"Ya Allah saya umat yang lemah dan tak sempurna, tunjukkanlah
jalan-jalan yang baik untuk saya membantu agama dan negara. Itu sahaja,"
katanya.
Bagaimanapun persoalan yang seharusnya ditimbulkan ialah mengapakah
bekas Naib Presiden Umno itu tidak membuat rayuan terlebih dahulu
terhadap penggantungan keahliannya sebelum mengumumkan keluar parti?
Apakah beliau terlalu marah dan kecewa dengan penggantungan keahliannya
itu hingga perlu mempamerkan egonya dengan membuat pengumuman keluar
parti?
Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna mengumumkan demikian pada
program Rakyat Bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Semporna minggu
lalu.
Itu adalah kali pertama beliau kembali ke Semporna sejak keahlian Umnonya digantung ketika beliau menunaikan ibadat umrah.
Hujung bulan lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keahlian Mohd
Shafie yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selepas
menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan bekas
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar
Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti.
Keputusan ke atas ketiga-tiga individu itu dibuat MT Umno selepas kesemua mereka disabit kesalahan melanggar disiplin parti.
Dakwa masih punya sokongan teguh
Sementara itu, Shafie mengingatkan pimpinan Umno supaya tidak memandang
rendah usahanya selama ini memperjuangkan dan mengukuhkan pengaruh Umno
di Sabah.
"Jangan hina saya dengan melemparkan tuduhan pengunduran saya daripada Umno tidak memberi sebarang kesan kepada parti.
"Kita tunggu keadaan. Saya dulu antara pengasasnya (Umno Sabah).
Bukanlah besar sangat sumbangan saya tapi adalah sikit sumbangan saya di
peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawakan parti Umno.
"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya apabila saya keluar dari parti.
Kita tunggulah ada kesan atau tidak. Kita tunggu Allah s.w.t.,"
katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Semporna itu tanpa berlapik mendakwa beliau
masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi Umno Sabah.
Sebagai reaksi pengumuman Shafie itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno menerima keputusan bekas naib
presidennya untuk keluar parti.
Beliau berkata menurut peraturan parti, sekiranya Shafie sudah
mengisytiharkan keluar parti, secara automatik beliau bukan lagi anggota
Umno.
"Kita delete sahaja nama dia daripada keahlian (Umno)," katanya apabila
diminta mengulas pengumuman Shafie meninggalkan Umno itu.
"Sesiapa yang nak keluar daripada Umno, silakan... sebab kita hanya
perlukan ahli yang betul-betul bertanggungjawab, setia dan amanah untuk
berada dalam parti.
"Barangkali dia (Shafie) kecewa digugurkan jawatan daripada kabinet
atau mungkin ada sebab lain...dia tak patut ikut emosi, kalau sayang
parti jangan ikut emosi, macam-macam masalah boleh jadi," katanya.
Mungkin Shafie mengambil keputusan nekad itu kerana terangsang dengan
sambutan yang diterimanya daripada penyokong di Semporna.
Pada 27 Jun lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan
Sambakong mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300
ketua cawangan, susulan tindakan MT Umno menggantung keahlian Shafie.
Bagaimanapun, Ketua Puteri Umno Semporna, Zakiah Kalipunya menafikan
beliau keluar parti, sebaliknya menyatakan akan terus setia bersama
Umno.
Jika yakin pengaruh kuat, mengapa tidak bertahan?
Demikian adat politik. Banyak kalanya sokong membawa rebah. Seharusnya
Shafie mempertimbangkan mengapa MT Umno hanya menggantung keahliannya
dan tidak dipecat seperti Muhyiddin dan Mukhriz.
Jika beliau yakin tidak melakukan kesalahan yang berat melanggar
disiplin parti apa ruginya jika beliau secara tertib mengemukakan
rayuan?
Umum memang menyaksikan bahawa Shafie tidaklah seligat dan segigih
Muhyiddin dan Mukhriz menggabungkan diri dengan gerakan memusuhi
presiden Umno yang bercita-cita mahu meranapkan Umno.
Jika Shafie menilai sumbangannya banyak pada penubuhan dan perkembangan Umno Sabah mengapa beliau harus meninggalkan Umno?
Umno Sabah adalah komponen penting Umno Malaysia. Jika yakin pengaruh
akar umbinya kuat, mengapa tidak beliau mencabar atau sekurang-kurangnya
mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden parti terlebih
dahulu.
Jika hingga kini beliau masih belum mempunyai perancangan menyertai
parti lain mahupun menubuhkan parti baru untuk menentang Umno, apa
ruginya untuk beliau dan penyokongnya untuk terus berada dalam Umno?
Nasib menentukan beliau tergolong dalam kumpulan Muhyiddin dan Mukhriz
yang lantang mengkritik presiden Umno. Bagaimanapun umum tahu sikap
kritis beliau terhadap Najib itu adalah masih beradab dan berpada-pada.
Namun dengan 'berputus arang berkerat rotan' dengan Umno, segala yang
dibinanya selama ini akan 'diratah' oleh ramai lagi pemimpin Umno Sabah
yang melihat ketiadaannya sebagai jalan pintas untuk berpejabat di
Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan