Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS mengalu-alukan penyertaan PKR ke dalam Blok Politik
Ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bagi mengukuhkan
lagi gagasan pembangkang untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
kelak.
Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh
yang turut mengakui bahawa PAS tidak akan mampu memperoleh kemenangan
yang besar sekiranya bertanding sendirian.
"Kita akui bersendirian tidak mampu untuk kita meraih lebih banyak
kerusi, jadi perlu ada gabungan dan kita mengajak PKR bersama dengan
Blok Ketiga. Biarkan DAP hendak bersama Amanah, biarkan. Tetapi kita nak
ajak PKR bersama PAS dalam Blok Ketiga," katanya.
Dalam mengulas bentuk kerjasama yang masih dijalin antara PAS dan PKR,
lebih-lebih lagi menerusi pentadbiran kerajaan Selangor, Mohd Fuad
berpendapat tiada keperluan untuk mengkaji semula hubungan yang sedia
ada.
Tegasnya, PKR sedia maklum dengan kekurangan yang ada padanya dan
kelebihan yang ada pada PAS bagi melengkapi keperluan agenda politik
masing-masing.
"Saya tidak melihat ia perlu (dikaji). Sebab soal sentimen, jika dilayan ia akan mendatangkan keburukan.
"PKR juga tahu kedudukan mereka. Kerusi-kerusi yang dimenangi PKR
sekarang di kawasan campuran sebahagiannya datang daripada undi
penyokong PAS. Jadi sanggupkah PKR memperjudikan nasib kawasan-kawasan
mereka?
"Kerusi Bukit Antarabangsa dan Gombak yang merupakan kawasan Menteri
Besar adalah kerusi yang asalnya milik PAS dan diserah kepada PKR," kata
Mohd Fuad kepada Antarapos.
Menerusi Muktamar Tahunan PAS Ke-62 yang berlangsung awal bulan ini,
Dewan Muslimat melontarkan cadangan kepada pimpinan parti untuk mengkaji
semula kerjasama dengan PKR, rentetan beberapa tindak-tanduk parti itu
seolah-olah tidak menghormati hubungan yang ada.
PKR bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk Pakatan
Harapan (PH), sementara PAS bersama IKATAN selepas kerjasama melalui
Pakatan Rakyat (PR) terkubur.
Azmin berbelah bagi
Malah kelibat pemimpin PKR bersama-sama dua calon Amanah di Pilihan
Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini juga
seolah-olah menyerlahkan lagi jurang yang ada antara PAS dan PKR.
Pemimpin PKR bersama DAP giat berkempen bagi calon Amanah, sebaliknya bagi calon PAS terpaksa bergerak sendirian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan
Presiden PKR hanya hadir di saat-saat akhir berkempen namun mengambil
pendirian menyokong kedua-dua calon itu.
Diminta mengulas hal itu, Mohd Fuad memberitahu PAS sedikit terguris
dengan sikap yang diambil PKR, namun sudah pun menjangka keadaan
tersebut sejak awal lagi.
"Sebab sedari awal lagi Wan Azizah (Presiden PKR) tidak menyebut PAS
dalam perbincangan (PRK). Dan kita faham sebab kita tidak bersama di
dalam PH. PKR-Amanah-DAP bergabung, manakala PAS berada di luar. Mereka
sebut nak calon PRK daripada PH, kita katakan tidak ada, teruskan
(bertanding).
"Dan kita sudah jangka PKR tidak akan bantu PAS. Tetapi melihat gerakan
politik sepanjang dua minggu PRK Sungai Besar, kelibat pemimpin PKR
tidak ramai, yang ada hanya Wan Azizah dan Rafizi Ramli.
"Pimpinan kawasan ramai tidak turun, malah saya dapat tahu ada yang
sengaja melarikan diri ke Mekah dan luar negara sebab tidak mahu bantu
calon Amanah.
"Itu menunjukkan di dalam PKR sendiri ada berbelah-bahagi. Azmin juga
menyebut sokong calon PH, tetapi (dalam masa sama) mendoakan calon PAS
berjaya. Dalam tindakannya ada yang tersembunyi," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan