Selasa, 12 Julai 2016

PAP terlibat tubuhkan Saksama - Presiden STAR

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo menegaskan Parti Altenatif Rakyat (PAP) ada menyertai perbincangan bersama enam lagi parti lain untuk menubuhkan Gabungan Rakyat Saksama (Saksama).
 
Malah, beliau nyata terkejut dengan kenyataan Presiden PAP Zulkifli Mohd Noor yang menafikan penggabungan itu, sedangkan parti itu ada menghantar wakil untuk menyertai siri perbincangan yang diadakan sebelum ini.
 
Menurut Lina, tiga siri perbincangan tersebut diadakan pada Jun lalu bagi memuktamadkan Perjanjian Persefahamam (MOU) untuk merealisasikan gabungan berkenaan sebelum membuat pendaftaran di Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
"Itu sesuatu yang mengejutkan bagi saya kerana kita telah adakan siri perbincangan.
 
"Kita adakan tiga siri perjumpaan, dan langkah seterusnya adalah untuk menandatangani perjanjian persefahaman. Tujuh parti yang disenaraikan adalah parti yang pernah mengadakan perbincangan dengan kami," katanya ketika dihubungi Antarapos. 
 
Semalam Zulkifli mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya penglibatan parti Semenanjung itu dalam mewujudkan blok pembangkang lain selain Pakatan Harapan (PH), dan Blok Ketiga gabungan antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Ikatan.
 
Lina dalam satu laporan berkata, gabungan parti baru itu ditubuhkan kerana gabungan PH dilihat gagal memberi saingan sengit kepada BN malah perpecahan antara pembangkang dan sudah tidak sehaluan menyebabkan tindakan itu terpaksa diambil.
 
Saksama adalah gabungan parti-parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. 
 
Ia terdiri daripada STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU),  Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) dari semenanjung.
 
Dalam siri perbincangan itu, PAP diwakili Naib Presidennya, Santokh Singh, Setiausaha Agung PAP David Dass, dan Setiausaha Antarabangsa PAP, Balachanthar.
 
Manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) diwakili Timbalan Presidennya, Patrick Anek Uren, Jack iau (Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Abdul Banning Mohamad (Presiden Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU) dan Lina Soo selaku Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR).
 
Mengulas mengenai parti yang menyertai Saksama tidak boleh menubuhkan cawangan di negeri lain, Lina berkata ia adalah perjanjian asas untuk menyaingi BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang. 
 
"Itu adalah persefahaman asas, parti di Semenanjung Malaysia boleh beroperasi di Semenanjung Malaysia sahaja, parti di Sabah beroperasi di Sabah, dan parti di Sarawak harus beroperasi di Sarawak. 
 
"Tidak perlu parti lain ditubuhkan di negeri lain, di Semenanjung terdapat banyak orang Sarawak dan Sabah. Tidak perlu untuk kita buka cawangan di sana sebenarnya," jelasnya

Tiada ulasan: