Selasa, 12 Julai 2016

Nga pula lapor polis, ulangi tak lukis karikatur 'dedak'

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Taiping dari DAP, Nga Kor Ming akan membuat laporan polis susulan kempen fitnah yang dilakukan ke atas beliau ekoran dakwaan posting di Facebook yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri.

Beliau yang juga pengerusi DAP Perak berkata, pihaknya amat kesal dengan reaksi yang terjadi ekoran kewujudan posting di Facebook tersebut yang disifatkan sebagai fitnah terhadapnya.

"Amat jelas sekali bahawa gambar tersebut adalah fitnah jahat yang sengaja dibuat pada bulan yg mulia ini.

"Saya bertegas saya tidak pernah sekalipun melukis atau memuat naik gambar itu dalam Facebook akaun saya dan saya tidak pernah berniat untuk mengguris hati mana-mana rakan-rakan Melayu dan yang beragama Islam yang saya hormati sepanjang masa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nga turut melampirkan satu poster ucapan perayaan Aidilfitri bersama kenyataan itu.




Hari ini, ratusan peserta baju merah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat DAP Kuala Lumpur bagi membantah kenyataan Nga dengan kehadiran seramai 30 anggota polis yang membuat sekatan di hadapan bangunan parti itu.

Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku tolak menolak di antara peserta himpunan dengan anggota polis dengan kumpulan berkenaan membawa plakad yang tertera tulisan 'DAP Rasis' dan 'Respek Islam dan mula melemparkan duit neraka.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata baru-baru ini, polis akan membuka kertas siasatan ke atas Nga mengikut Akta Hasutan.

"Kita sudah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.

"Kita juga akan menyiasat sama ada entri tersebut Nga yang buat atau tidak," kata Khalid lagi.

Mengulas lanjut, Nga menambah, ini adalah satu helah politik kotor dan fitnah dan beliau berharap perkara ini tidak dipanjangkan lagi kerana ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"Memandangkan sekarang ialah bulan Syawal yang mulia, saya tidak bercadang ambil tindakan tegas tetapi keadaan bertambah keruh bila ada puak pelampau yang membuat himpunan haram menyemarakkan tohmahan & fitnah terhadap saya.

"Oleh itu, saya akan buat satu laporan polis terhadap kempen fitnah tersebut dalam masa terdekat untuk membela keharmonian masyarakat yang kita sayangi ini," tambahnya.

Di akhir kenyataan itu, Nga menyeru semua pihak agar menuju ke arah politik matang tanpa fitnah.

Tiada ulasan: