PETALING JAYA: Ketua Pasukan Harimau Malaysia, Safiq Rahim dan rakan
sepasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengumumkan persaraan daripada
skuad bola sepak kebangsaan.
Penyerang dan pemain pertahanan itu dalam pengumuman berasingan yang
dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tigers hari ini memberi alasan
sama untuk memberi laluan kepada pemain muda.
“Sudah tiba masanya untuk saya bersara daripada skuad kebangsaan dan
memberi peluang kepada pemain lain untuk menggalas tugasan saya.
“Pencapaian-pencapaian yang pernah saya raih seperti membantu skuad
kebangsaan Bawah 23 tahun memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009 dan
juara Piala Suzuki AFF 2010 untuk skuad senior pastinya mampu menjadi
pemangkin kepada pemain generasi baru untuk memberikan keputusan dan
idea yang lebih positif buat skuad negara,” kata Safiq.
Kedua-dua tonggak skuad kebangsaan itu turut merakamkan penghargaan
kepada semua penyokong bola sepak tanah air, barisan kejurulatihan serta
pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong mereka
sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan.
Menurut dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, mereka cukup berbesar
hati dapat membantu Harimau Malaysia mencapai beberapa kejayaan termasuk
memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009.
Safiq, 29, mula mewakili skuad negara Bawah 20 tahun di Piala Belia
Asia, India pada 2006, manakala Aidil Zafuan yang menginjak usia 28
tahun pula membuat 68 penampilan bersama skuad negara sejak Julai 2007.
Kali terakhir Aidil Zafuan beraksi bersama skuad kebangsaan dan turut menggalas tanggungjawab kapten pasukan ialah 26 Jun lalu.
Ketika itu, Harimau Malaysia seri 1-1 dengan pasukan di ranking ke-186
dunia, Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania di
Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan