Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PAS menafikan bahawa hubungan kerjasama yang dijalin bersama
Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menerusi Blok Ketiga tidak
memberi keuntungan kepada mereka khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
Sebaliknya menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi
Marzuki, Ikatan walaupun merupakan sebuah parti baru, namun ia tetap
mempunyai segmen penyokong tersendiri dan diyakini memberi impak kepada
gabungan berkenaan.
"Setiap parti ia ada segmen penyokong, mungkin tak banyak, tapi ada
segmen penyokong, kadang-kadang segmen penyokong itu kuat di sesuatu
lokaliti. Ia kuat di Sabah misalnya, walaupun ia tak ada kesan besar di
Semenanjung. Kita melihat semua segmen ini.
"Parti-parti kecil ada penyokong tersendiri. Parti Ikatan walaupun baru
tapi ada penyokong tersendiri dan juga parti lain," katanya dalam satu
temubual bersama Antarapos baru-baru ini.
Ujar Mohd Zuhdi, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, PAS yang
merupakan 'parti tonggak' dalam Blok Ketiga akan memainkan peranan
menjadi 'pembesar suara' kepada parti-parti kecil lain dalam menyuarakan
kepentingan penyokong mereka.
"Mereka mendapat manfaat daripada gabungan bersama blok ini dan pada
masa yang sama PAS dan parti-parti lain juga mendapat manfaat daripada
penyertaan, walaupun parti kecil, tetapi mereka ada segmen penyokong
mereka," katanya.
PAS dan Ikatan memeterai hubungan kerjasama dengan membentuk Blok Ketiga pada 16 Mac lalu sebagai persediaan menghadapi PRU14.
Ikatan yang dipimpin bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh
Fadzir, ditubuhkan pada 2012 namun ia didaftarkan pada 2015.
Ikatan memperjuangkan idea perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra sebagai dasar partinya.
Dalam pada itu, Mohd Zuhdi berkata, Blok Ketiga tidak hanya terhad
kepada parti politik bahkan ia turut mengalukan penyertaan mana-mana
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Bahkan kemungkinan NGO-NGO ini mungkin akan bertanding dalam pilihan
raya, mereka wakili NGO mereka, bertanding dalam PRU 14 menggunakan
lambang mana-mana parti dalam blok ini sama ada lambang PAS, Ikatan dan
sebagainya tapi ia akan didokong oleh jentera PAS yang ada di seluruh
negara," kata beliau.
Bahkan tokoh atau orang perseorangan yang mempunyai pengaruh (NGI)
namun tidak berkecimpung dalam politik atau mana-mana NGO turut boleh
terlibat dalam blok ketiga, menurut Mohd Zuhdi.
Tambah beliau, mereka juga boleh menjadi calon dalam PRU14 atas
kapasiti sebagai tokoh individu dengan menggunakan tiket mana-mana parti
yang ada dalam Blok Ketiga.
"Ini konsep blok ketiga yang pernah diuarkan oleh pimpinan PAS sebelum ini," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan