KUALA LUMPUR: Pemilihan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sebagai
Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) adalah disebabkan
ulamak itu merupakan tokoh paling tepat bagi mengepalai kluster
terpenting berkenaan.
Justeru Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf
Wajdi Dusuki berkata, pelantikan tokoh itu bukan satu bentuk penghinaan,
malah beliau menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan
tersebut.
Katanya pelantikan itu adalah penghormatan tertinggi kerajaan kepada
Haron yang akan memperinci segala pandangan dan cadangan berkaitan hal
ehwal dakwah Islamiah sebelum diangkat bagi dibincang dan diputuskan
oleh MPI.
"Hakikatnya, ramai mengenali dan menghormati Dr Haron sebagai tokoh
dakwah negara berbanding tokoh politik, lama sebelum beliau dilantik
sebagai Mursyidul Am PAS.
"Bahkan sehingga hari ini kawan mahupun lawan yg berbeza fahaman
politik pun tetap merujuk buah fikiran beliau dalam hal-hal berkaitan
dakwah," kata Asyraf Wajdi dalam laman Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata agenda dakwah Islamiah seharusnya diangkat sebagai
agenda ummah dan merentasi ideologi politik kepartian yang rigid dan
sempit.
"Sesekali alangkah molek untuk kita melihat sesuatu dalam kerangka yang
lebih besar berbanding cuba menafsirkan setiap perkara daripada kaca
mata politik yang memecah-belahkan," tegasnya.
Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dilaporkan sebagai berkata,
pelantikan Haron dalam MPI oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi pada dua hari lepas merupakan satu penghinaan kepada parti
Islam itu dan perlu ditolak.
Menurut ADUN Salor itu, PAS perlu membuat satu keputusan politik bagi membetulkan perkara itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut
menangkis dakwaan Husam tersebut, dengan menyifatkann pelantikan Haron
sebagai satu penghargaan dan bukannya satu penghinaan kepada parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan