Isnin, 29 Februari 2016

Tiada serangan harimau di Dungun

Tiada serangan harimau di Dungun
Gambar serangan harimau didakwa berlaku di Terengganu diviralkan di media sosial oleh pihak tertentu.


KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menafikan berita yang tersebar di media sosial kononnya seekor harimau menyerang seorang  lelaki di Dungun.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, kejadian berkenaan tidak berlaku di negeri ini, malah pihaknya difahamkan insiden tersebut berlaku di luar negara.

“Di sini, saya ingin tegaskan sekali lagi sebenarnya tiada kejadian manusia diserang harimau seperti yang diviralkan itu dan sehingga hari ini (semalam), kami memang tidak menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kejadian.

“Buat pengetahuan juga, insiden manusia diserang harimau tidak berlaku di negeri ini sejak tempoh lima tahun lalu, jadi pihak kami tidak tahu apa motif sebenar penyebar berita palsu ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dalam masa sama, Mohd Hasdi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak  mudah mempercayai berita yang diviralkan sebelum mendapat pengesahan daripada pihak tertentu.

“Individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ini juga diharap dapat memberhentikan aktiviti tidak sihat tersebut kerana ia bukan sahaja menjejaskan jabatan kami, malah dalam masa sama boleh menjejaskan imej negara.

“Selain itu, dengan penyebaran berita palsu ini turut boleh menimbulkan rasa panik dan takut orang ramai terutamanya pelancong untuk datang ke negeri ini,” katanya.

Semalam, video yang memuatkan gambar seorang lelaki parah di bahagian belakang badannya kerana diserang seekor harimau yang dikatakan kejadian berlaku di Bukit Besi, Dungun, telah diviralkan.

Dalam video itu juga memaklumkan bagaimanapun binatang buas tersebut berjaya ditembak rakan mangsa yang kebetulan berada di lokasi.


Tiada ulasan: