Isnin, 29 Februari 2016

Pensyarah: 'Perang elit dalam Umno'

MALAYSIAKINI




Seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat bahawa apa yang berlaku dalam Umno sekarang ialah perang elit dalam Umno antara kem Datuk Seri Najib Razak dan Kem Tan Sri Muhyddin Yassin.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Md Shukri Shuib dipetik oleh Sinar Online sebagai berkata bahawa BN harus berwaspada, kerana situasi genting ini bukan ujian oleh pihak luar, tetapi ini dalam parti.

"Ini bukan krisis parti, tetapi ini perang elit dalam Umno iaitu antara kem Datuk Seri Najib Razak dan Kem Tan Sri Muhyddin Yassin. Perang ini yang menyebabkan Umno dipandang rendah oleh orang luar,” beliau dipetik sebagai berkata.

Katanya, penggantungan Muhyiddin daripada jawatan timbalan presiden Umno mendedahkan lagi konflik kepimpinan Umno, yang selama ini tidak nampak secara ketara.

Menurutnya, apabila berlaku tindakan terhadap Muhyiddin, rakyat akan nampak secara ketara akan konflik dalaman Umno.

"Masyarakat di bawah tertanya-tanya siapa yang betul dan salah. Umno harus bersedia, perang persepsi dalam kalangan masyarakat,” beliau dipetik oleh Sinar Online sebagai berkata.

Menurut beliau lagi, paling dibimbangi wujudnya revolusi dalam kalangan ahli Umno yang mahu mensabotaj parti.

“Dalam satu sudut, itu hak Majlis Tertinggi Umno untuk tentukan (penggantungan). Tetapi perlu diingat, Umno itu milik ahli," beliau dilapor berkata.

Katanya, protes secara senyap dalam kalangan ahli boleh berlaku apabila tibanya pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Justeru, katanya, pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat akan menggalas tugas serta tanggungjawab yang berat bagi memastikan sokongan rakyat kembali kepada Umno dan BN.
“Jadi dalam hal ini, Ahmad Zahid akan menjadi mangsa imej dan populariti,” katanya.

Md Shukri dipetik sebagai berkata, apa yang berlaku dalam Umno kini ibarat gempa bumi kecil yang akhirnya akan memberi kesan pada sokongan rakyat terhadap BN pada PRU14.


Tiada ulasan: