Sabtu, 27 Februari 2016

Operasi memadam api di Batu Caves masih diteruskan

SINAR HARIAN


Hutan Bukit Batu Kapur di Gombak terbakar
Hutan Bukit Batu Kapur terbakar.


KUALA LUMPUR - Pasukan Bomba dan Penyelamat masih meneruskan usaha memadam kebakaran bukit batu kapur, Kampung Sri Gombak dekat Batu Caves sejak semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, operasi itu mungkin berterusan sehingga esok kerana faktor ketinggian dan risiko batu kapur terjatuh, boleh membahayakan anggota bomba.

"Terdapat api di tiga kawasan berkeluasan setengah ekar di puncak bukit yang masih belum dipadamkan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya, setakat ini seramai 70 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Gombak dan Wangsa Maju dikerahkan di lokasi bersama tiga jentera bagi operasi pemadaman dan pemantauan.

[ARTIKEL BERKAITAN:Hutan Batu Kapur terbakar: Tangisan bayi sedarkan ibu]

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada keperluan memindahkan penduduk Kampung Sri Gombak iaitu penempatan terdekat dengan kawasan kebakaran itu.

Semalam, kawasan hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves terbakar melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar, dipercayai berpunca daripada perbuatan pembakaran sampah secara terbuka. - Bernama


Tiada ulasan: