PETALING JAYA: Portal berita The Rakyat Post menamatkan operasinya pada Isnin.
Operasi media milik Wespacom Sdn Bhd memaklumkan kepada wakil 60
kakitangannya berhubung keputusan untuk menamatkan operasi pada
mesyuarat yang berlangsung di Menara MBSB, Kuala Lumpur.
Ia turut memberitahu kakitangannya supaya membuat aduan dengan Jabatan
Buruh untuk tindakan industri bagi mendapatkan dua bulan gaji yang masih
tertunggak.
Terdahulu, kira-kira 15 kakitangan portal berita itu berkunjung ke
pejabat Jabatan Buruh di Subang Jaya sebelum membuat aduan rasmi
terhadap syarikat berkenaan.
Bercakap kepada pemberita, wakil kakitangan portal itu, Michael Murty
berkata, kakitangan terlibat tidak menjangka syarikat berhadapan masalah
kerana mereka dibayar gaji pada hari ketiga setiap bulan.
"Pada Disember, majikan memaklumkan syarikat berhadapan masalah dana.
Hanya pada Januari kami memperoleh gaji untuk Disember, beberapa hari
lewat berbanding kebiasaannya. Majikan memberitahu mengenai masalah
mendapatkan dana, bagaimanapun mereka masih dapat memenuhi keperluan
pekerja," katanya.
Murty berkata pada Rabu lalu, majikan minta diberi masa seminggu untuk mendapatkan dana dan jika gagal terpaksa gulung tikar.
"Tiada alasan diberi berkaitan masalah untuk mendapatkan dana," katanya
yang tidak berpuas hati kerana kakitangan tidak dimaklumkan lebih awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan