Jumaat, 26 Februari 2016

Sekat portal: HRW gesa tekanan global pada M'sa

MALAYSIAKINI




Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia, selepas sekatan terhadap sebuah portal berita semalam.

Timbalan Pengarah HRW Phil Robertson berkata kerajaan terang-terangan melanggar kebebasan media dan meningkatkan kebimbangan pada komitmennya pada hak asasi dan prinsip demokrasi.

“Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kerajaan-kerajaan lain perlu campur tangan untuk menekan pemimpin Malaysia supaya menghindarkan diri daripada dasar-dasar sesebuah media yang dijangkakan di negara satu parti seperti Vietnam, dan bukan sebuah negara yang mendakwa moden, demokrasi pelbagai parti,” katanya

Robertson berkata tiada keraguan lagi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dang mengetatkan penapisan terhadap portal berita atas talian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat The Malaysian Insider (TMI) kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu semalam tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat, tetapi diakui menteri mempunyai kaitan dengan laporan bahawa terdapat cukup bukti untuk mendakwa Najib.

Polis berkata akan menyiasat laporan TMI mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Najib dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.

Tiada ulasan: