SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai
Timbalan Presiden Umno, hari ini menafikan dakwaan ahli Majlis Tertinggi
(MT) parti itu bahawa beliau tidak menjalankan tugas membantu Datuk
Seri Najib Razak.
Muhyiddin sebaliknya berkata, beliau dihalang dalam melakukan tugas
untuk membantu Presiden Umno sejak digugurkan dari Kabinet, Julai tahun
lalu.
"Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti
yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti
yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah,
seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan
agung," katanya dalam Facebook beliau.
Malah keputusan MT Umno semalam yang menggantung jawatan Timbalan Presidennya sudahpun dijangka beliau.
"Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menggantung saya daripada
jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan
satu perkara yang mengejutkan," jelas beliau.
Semalam MT Umno sebulat suara menggantung Muhyiddin kerana beliau
didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya mengikut perlembagaan parti.
Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
tidak menyertai perbahasan usul menggantung Muhyiddin bagi mengelak
sebarang konflik atau prasangka.
Muhyiddin berkata beliau telah melaksanakan tugasnya sebagai timbalan presiden parti sebaik mungkin.
"Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya
tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu
Presiden.
"Saya mengetuai jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) dalam setiap
kali pilihan raya kecil atau pilihan raya umum dan bekerja keras untuk
memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku
ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya
membantu Presiden?," soal Muhyiddin.
Semalam ahli MT Umno mengambil pendekatan untuk menggantung Muhyiddin selari dengan Fasal 9.8.2.1 Perlembangaan Umno.
Peruntukan itu menetapkan tugas utama Timbalan Presiden adalah untuk membantu Presiden.
Keputusan tersebut dibuat di kalangan ahli MT tanpa dihadiri
Presidennya Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin sebelum ini kerap kali lantang menyatakan rasa tidak puas
hati terhadap Najib dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) serta isu derma RM2.6 bilion.
Muhyiddin berkata beliau tidak akan memberi sokongan secara 'membuta tuli'.
"Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan
yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan
kesilapannya demi kebaikan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata
keputusan menggantung Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno terpaksa
dibuat untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Katanya, jika Muhyiddin terus dibiarkan membuat kenyataan bercanggah
dan memburukkan imej parti, peluang untuk Umno memenangi pilihan raya
akan datang semakin tipis.
"Kita terpaksa membuat keputusan ini untuk masa depan parti. Jika kita
biarkan beliau terus memburukkan imej parti, semakin kecillah peluang
kita untuk menang PRU akan datang," ujarnya kepada pemberita selepas
menghadiri Mesyuarat Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), katanya semalam.
Perkara sama turut disuarakan Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Hishamuddin berkata penggantungan jawatan Muhyiddin Yassin perlu dilihat sebagai usaha untuk mengukuh parti.
Menurutnya, keputusan yang dipersetujui secara konsensus oleh semua
ahli MT itu diharap dapat menggerakkan parti ke hadapan dan tidak lagi
terkesan dengan krisis dalaman seperti sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan