Khamis, 25 Februari 2016

Akses kepada TMI disekat atas sebab ‘keselamatan negara’

THE MALAYSIAN INSIDER


Pembaca mengadu sekatan yang dikenakan apabila melayari laman web TMI. – Gambar The Malaysian Insider, 25 Februari, 2016. 
 
Pembaca mengadu sekatan yang dikenakan apabila melayari laman web TMI. – Gambar The Malaysian Insider,
 
 
Ketika The Malaysian Insider (TMI) mencecah usia genap lapan tahun hari ini, akses kepada laman itu disekat beberapa pembekal Internet susulan tindakan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas sebab "keselamatan negara".

Ketika dihubungi, Ketua Penguatkuasa SKMM Zulkarnain Mohd Yasin mengesahkan tindakan itu dan menyatakan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

"Kami akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya kepada TMI.

Bagaimanapun, sumber berkata, SKMM mengarahkan pembekal perkhidmatan Internet untuk menyekat TMI atas sebab "keselamatan negara". 
 
 Katanya, tindakan ini diambil kerana kesalahan didakwa dilakukan TMI mungkin memberi kesan kepada kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi.

Beberapa pembaca memaklumkan kepada TMI perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses portal berita itu.

Pembaca TMI yang menggunakan perkhidmatan Celcom, dan di sesetengah tempat, Unifi, kedua-duanya syarikat yang dikawal kerajaan, mengadu mengenai sekatan itu.

Bagaimanapun, sesetengah pengguna Maxis dan U-Mobile berkata mereka masih boleh mengakses laman The Malaysian Insider daripada telefon bimbit walaupun arahan dikeluarkan kepada semua ISP.

Mereka menerima notis SKMM yang menyatakan portal berita ini melanggar undang-undang Malaysia, apabila melayari laman web TMI.

Bagaimanapun, tiada notis dihantar kepada TMI mengenai pelanggaran sebarang undang-undang.

"Ini satu kejutan yang tidak menyenangkan. SKMM sudah menjawab pertanyaan saya mengenai perkara ini, mengatakan mereka akan mengeluarkan kenyataan," kata Pengarang dan Ketua Eksekutif TMI Jahabar Sadiq, hari ini. 
 

Tiada ulasan: