Khamis, 25 Februari 2016

Dakwa salahguna dana kerajaan, PKR lapor polis

 
Peruntukan itu sepatutnya disalur kepada peniaga kecil India, namun disalahguna untuk tujuan politik BN.


Manivanan,-Najib,-kaum-India.


KUALA LUMPUR: Laporan polis dibuat terhadap Datuk Seri Najib Razak hari ini, atas dakwaan menggunakan dana Kementerian Kewangan sebanyak RM2.1 juta untuk kempen pilihan raya.

Laporan polis itu dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, G Manivanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Manivanan mendakwa, dana berkenaan diserahkan kepada sebuah pertubuhan untuk masyarakat India tetapi digunakan bagi kempen ‘Nambikei’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Dakwanya, pemimpin pertubuhan masyarakat India terbabit turut menyalahi piagam pertubuhan dengan menggunakan wang itu demi kempen pilihan raya untuk BN.

“Pendedahan ini adalah gambaran bahawa peruntukan yang sebegitu banyak diumumkan Perdana Menteri sebelum ini tidak sampai kepada masyarakat kaum India.

“Saya kesal kerana nama masyarakat India dan peniaga kecil India disalahgunakan untuk mendapatkan dana kerajaan yang akhirnya tidak sampai kepada masyarakat India.

“Saya percaya penyelewengan dana rakyat dengan menggunakan nama masyarakat India yang didedahkan ini lebih luas lagi kerana sudah menjadi amalan BN mengagihkan dana kerajaan melalui NGO,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan beberapa baucar bayaran yang didakwa mengandungi maklumat terperinci cara mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk biaya kempen PRU-13.

Anggota Parlimen Pandan itu mendakwa Kementerian Kewangan pada tahun 2013 meluluskan jumlah berkenaan sebagai geran derma kepada sebuah persatuan kaum India yang menyokong BN.

Tiada ulasan: