Isnin, 29 Februari 2016

1MDB: Apandi perlu bersumpah al-Quran

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali


KUALA TERENGGANU – Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi kesan besar sehingga dikatakan turut mewujudkan krisis kepercayaan masyarakat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, bukan hanya Tun Mahathir Mohamad sahaja yang sukar untuk percaya terhadap pendedahan Jabatan Peguam Negara itu, bahkan beliau tidak menolak ramai pihak yang turut mempersoalkan perkara sama.

“Apabila berlaku krisis kepercayaan masyarakat terhadap Peguam Negara, ia mewujudkan suasana yang tidak bagus, apatah lagi ia melibatkan pemimpin di peringkat jawatan tertinggi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Berhubung gesaan bekas Perdana Menteri keempat itu supaya Mohamed Apandi bersumpah dengan al-Quran, Azman berkata bahawa isu 1MDB dilihat sesuatu yang sukar dan tidak dapat menyelesaikan masalah dengan hanya bersumpah dengan al-Quran.

Beliau berpendapat, perlu ada badan tinggi yang boleh menyoal siasat Mohamed Apandi dan Mahathir berhubung kenyataan beliau mengenai 1MDB sebelum ini untuk membuktikan kebenaran antara kedua-dua pihak.

“Isu ini adalah melibatkan pihak tertinggi. Jadi, ia perlu kepada badan yang lebih tinggi untuk menyoal peguam negara dan juga Mahathir dengan teliti apa yang tidak puas hati dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak bahawa bersumpah dengan al-Quran dibenarkan dalam agama dalam meyakinkan orang ramai terhadap pihak yang bersumpah.

Azman Shapawi berkata, ia diharuskan sekiranya masyarakat umum tidak percaya terhadap apa yang dikatakan sedangkan pihak terlibat benar-benar mahu membuktikan dia bercakap benar.

Laporan Sinar Harian Khamis lalu, Mahathir menegaskan beliau sedia dipenjarakan sekiranya didapati bersalah memfitnah Mohamed Apandi yang didakwa cuba membersihkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB dan RM2.6 bilion.

Tiada ulasan: