Mayat hampir reput ditemui terdampar di pinggir Pantai Baru, Merang di Setiu berhampiran sebuah resort, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Elias Abu Bakar berkata mayat tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 5.30 petang yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis mengenai mayat berkenaan.
Katanya berdasarkan keadaan mayat yang mula mereput itu pihaknya percaya mangsa telah mati dalam tempoh lebih dua bulan.
"Hasil siasatan awal kita tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut dan kita tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan milik seorang lelaki.
"Namun kita tidak dapat memastikan umur pada mayat berketinggian 5 kaki 5 inci (1.65m) itu ekoran mayat telah mereput,"katanya kepada Bernama.
Menurutnya mayat berkenaan dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat.
Elias berkata setakat ini pihaknya juga tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat yang mula tinggal rangka itu.
"Setakat ini kita mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sehingga punca kematian dan laporan bedah siasat diperolehi,"katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan