KUALA LUMPUR,  Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tatatertib terhadap Ali Tinju, sekiranya beliau terus melakukan perkara yang menjatuhkan imej persatuan itu.


Menurut Majlis Eksekutif PVATM, ini memandangkan Ali Tinju atau nama sebenarnya, Mohd Ali Baharom sering membuat kenyataan menyentuh sentimen perkauman yang dilihat boleh memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.

Tindak-tanduk Ali Tinju itu juga disifatkan telah memberi imej tidak baik kepada veteran ATM secara menyeluruh, selain bercanggah prinsip dan amalan veteran ATM di negara ini.

“Sentimen perkauman yang dilaung-laungkan Ali Tinju boleh menjejaskan usaha pucuk pimpinan negara dan kerajaan untuk terus menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik dan agama di negara ini.

“Tindakan tidak bertanggungjawab Ali Tinju perlu dibendung dan dihentikan segera, sebelum perkara yang tidak diingini berlaku,” demikian menurut PVATM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Ali sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi melalui beberapa tindakannya, termasuk insiden ‘senaman punggung’ di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga dan demonstrasi jalanan sewaktu insiden Low Yatt berlaku.

Menurut PVATM, Mohd Ali pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selama lapan tahun dan merupakan anggota persatuan itu yang berdaftar di cawangan Petaling, Selangor, namun beliau tidak aktif.

Persatuan itu turut menegaskan, Persatuan Veteran Tentera Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor (PVTM) yang ditubuhkan Mohd Ali tidak lagi wujud.

“PVTM telah dibubarkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 April 2014, kerana gagal mematuhi beberapa syarat dan peraturan yang dikenakan ke atas setiap persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Oleh itu, kami berharap pihak media tidak lagi menyebut dan mengaitkan Ali Tinju sebagai Presiden PVTM, kerana persatuan itu tidak lagi wujud,” kata kenyataan itu.

PVATM merupakan persatuan terbesar veteran ATM yang mempunyai 160,000 ahli dan kini diterajui Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, iaitu bekas Panglima ATM selaku Presidennya.