Selasa, 29 Disember 2015

PKR desak PTPTN henti potongan maksimum gaji penjawat awam

THE MALAYSIAN INSIDER

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya mencadangkan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Disember, 2015.Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya mencadangkan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
PKR hari ini mendesak agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar tidak lagi melaksanakan potongan maksimum secara automatik gaji penjawat awam sebaliknya mencadangkan agar ianya dilakukan dengan mekanisme tertentu. 
 
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya mencadangkan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan.

"Saya menyeru Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah supaya mengeluarkan arahan serta merta kepada pengurusan PTPTN untuk menghentikan amalan membuat potongan bayaran maksimum PTPTN secara automatik bagi penjawat awam yang mengundang kontroversi setakat ini.

"Saya menerima pelbagai aduan bagaimana sistem potongan cukai maksimum ini mengejutkan peminjam kerana mereka tidak dimaklumkan atau diberi sebarang amaran mengenai jumlah maksimum yang akan dipotong," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini. 
 
 Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kaedah pemotongan maksimum secara automatik itu menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit.

"Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

"Oleh yang demikian, wajarlah amalan ini dihentikan serta merta sementara satu langkah yang lebih adil dan praktikal dapat dikenal pasti untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau turut mengulangi cadangannya agar PTPTN mengambil contoh amalan di Australia yang mana peminjam pinjaman pendidikan hanya perlu mula membayar balik pinjaman sekiranya gajinya lebih tinggi daripada paras tertentu.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan untuk memastikan peminjam yang terdiri daripada graduan muda dapat memulakan hidup kerjaya tanpa terlalu dibebankan dengan hutang pendidikan.

"Selepas keadaan kewangan mereka lebih stabil, mereka akan mula dikenakan bayaran ansuran yang berkadar dengan pendapatan mereka ketika itu.

"Maka, saya mencadangkan supaya PTPTN merubah kembali peraturan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan," katanya.

Sebagai pertukaran, beliau berkata peminjam perlu mengemas kini butiran pekerjaan dan gaji yang disahkan majikan setiap 6 bulan bagi memastikan mereka mula membayar secara potongan automatik mengikut jadual yang dipersetujui setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan.

"Mana-mana peminjam yang tidak mengemas kini butiran pekerjaan dan gaji bolehlah dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka ingkar walaupun skim bayaran yang lebih adil ditawarkan kepada mereka," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau akan memfailkan satu usul pada sidang Parlimen Mac 2016 untuk membawa kembali isu PTPTN kerana ia menjadi beban kepada banyak keluarga muda.

"Saya juga akan mengusahakan dengan aktivis dan tokoh-tokoh anak muda untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat," katanya


Tiada ulasan: