Sebagai pemimpin nombor dua negara, beliau berkewajipan melakukan sesuatu untuk menangani masalah rakyat
PETALING JAYA: PKR menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) mengenai kontrak, perjanjian dan konsesi yang memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, sekiranya benar kontrak, perjanjian dan konsesi yang dimeterai tidak memberi manfaat malah membebankan rakyat, ia seharusnya dikaji semula.
“Jika benar kontrak, perjanjian dan konsesi ini tidak memanfaatkan malah membebankan hidup rakyat, apakah tidak mungkin ia dikaji semula dan perjanjian yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat dimeterai?, katanya menerusi kenyataan media.
Tegasnya lagi, rakyat hari ini sentiasa melihat dan memerhati gerak-geri dan langkah pemimpin dan apabila tiba waktunya, rakyat akan menilai pemimpin-pemimpin ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
“Rakyat sentiasa melihat dan memerhati gerak langkah pemimpin. Bila tiba waktunya nanti, pemimpin terutamanya mereka yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran kerajaan akan dinilai di dalam “mahkamah rakyat” atas segala tindak-tanduk yang mereka lakukan,” katanya.
Fahmi berkata demikian sebagai kenyataan balas terhadap Zahid yang menyatakan ramai pihak yang menyalahkan kerajaan kerana kontrak penswastaan yang semakin membebankan rakyat dan amat mendukacitakan.
“Ini kerana bukan sahaja beliau menggunakan perkataan-perkataan yang tidak patut oleh seorang Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan kanan UMNO-BN, tetapi lebih dari itu beliau enggan melihat isu dari sudut dasarnya.
“Masalah yang ada sekarang adalah kesinambungan daripada pentadbiran dahulu, itu tidak dipersoal.
Bezanya ialah orang berkuasa seperti Zahid mempunyai kewajipan moral sebagai pemimpin nombor dua negara untuk melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini,” kata Fahmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan