KUALA LUMPUR,  Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor (PVTM), Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju menyelar tindakan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) melemparkan pelbagai dakwaan tidak benar terhadapnya.


Mohd Ali menafikan PVTM dibubarkan tahun lalu, kerana sehingga kini, persatuan tersebut masih aktif dan berdaftar.

“PVATM diingatkan untuk tidak mengganggu rumah orang lain dan saya mahu Presidennya membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Tindakan mereka ini sudah menjejaskan nama baik saya dan melampau,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada PVATM untuk memohon maaf dan jika gagal berbuat demikian, ia akan dibawa ke mahkamah.

Semalam, PVATM memberi amaran tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tatatertib terhadap Ali Tinju, sekiranya beliau terus melakukan perkara yang menjatuhkan imej persatuan itu.

PVATM turut mendakwa persatuan yang ditubuhkan Mohd Ali telah dibubarkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 April 2014, kerana gagal mematuhi beberapa syarat dan peraturan yang dikenakan ke atas setiap persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, Mohd Ali menjelaskan, persatuan yang ditubuhkan itu adalah usahanya dan sebanyak 200 program telah dianjurkan sejak penubuhannya pada 2011, dengan menggunakan wang saku sendiri tanpa bantuan kerajaan.