Rabu, 30 Disember 2015

Rafizi jangkakan harga RON95 jatuh bulan depan

MALAYSIAKINI


 


Harga petrol RON95 dijangka jatuh sebanyak 10 hingga 15 sen seliter pada bulan Januari tahun depan dan menyaksikan ia dijual pada kadar RM1.80 hingga RM1.85 seliter, kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata anggarannya itu adalah berdasarkan kepada laporan harga minyak mentah Brent bagi bulan Disember 2015 yang diterjemahkan secara anggaran kepada harga MOPS RON95 bagi minggu terakhir Disember 2015 menggunakan kadar tukaran matawang semasa.

Namun begitu, Rafizi berkata penurunan itu tidak mencerminkan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran global dan menggesa agar satu mekanisme harga baru dilaksanakan.

Beliau berkata, harga RON95 di Malaysia jatuh hanya sebanyak tujuh peratus sejak Julai tahun lalu kepada RM1.95 seliter berbanding harga minyak mentah Brent yang menjunam sebanyak 66 peratus kepada AS$37 setong sepanjang tempoh yang sama.

“Perbezaan yang besar ini adalah disebabkan kejatuhan mendadak nilai matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat.

“Oleh yang demikian, harga RON95 yang ditetapkan menggunakan formula yang bergantung kepada kadar tukaran ringgit kepada dollar ini tidak lagi melambangkan kos sebenar seliter RON95 yang sepatutnya dibayar oleh pengguna kerana diherotkan (distorted) oleh kadar matawang ringgit yang merudum.

“Saya telah mencadangkan sebelum ini supaya satu kaedah penetapan harga baru diperkenalkan dengan menggunakan maklumat kos pengeluaran sebenar loji penapisan minyak di Malaysia yang dikira di dalam ringgit bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan kadar matawang ringgit kepada dollar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Harga runcit bahan api di Malaysia adalah berdasarkan sistem apungan terurus yang diselaraskan pada awal setiap bulan. RON95 kini dijual pada RM1.95 seliter dalam hal RON95.

Harga MOPS untuk RON95 adalah antara faktor yang dipertimbangkan oleh kerajaan dalam menetapkan harga bagi bahan api. Ia adalah dalam nilai dolar Amerika.

Sementara itu, Rafizi berkata, oleh kerana konsep ini tidak akan difahami oleh menteri dan tidak akan dilaksanakan selagi Umno/BN berkuasa, beliau menyeru supaya kerajaan mengembalikan penjimatan harga minyak lebih besar melalui beberapa kaedah lain.

Antaranya, kata beliau, kerajaan perlu menghentikan semua kenaikan tambang pengangkutan awam seperti LRT, komuter, ERL, bas dan lain-lain yang telah diumumkan setakat ini.

Ini kerana mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan telah mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam.

Beliau juga mencadangkan rebat elektrik dikekalkan pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik yang ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api.


Tiada ulasan: