FERNANDO FONG
Mohamed Azmin bersalaman
dengan hadirin, setibanya di majlis perasmian 'Rumah Terbuka Krismas' di
Klang, malam ini. - Foto TRP/ Fernando Fong
KLANG, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri komited untuk menjaga kepentingan semua rakyatnya, tanpa mengira kaum dan agama.
Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah
menggandakan peruntukan untuk membaiki rumah ibadat untuk golongan
bukan Islam daripada RM3 juta kepada RM6 juta.
Kerajaan Negeri Selangor, jelasnya, turut
meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk pembinaan sebuah pejabat
bagi Majlis Gereja-gereja Malaysia.
Mohamed Azmin berkata, keharmian kaum
perlu dipelihara, susulan timbulnya suara-suara ekstrem yang mahu
merosakkan hubungan antara rakyat majmuk di negeri berkenaan.
“Kerajaan negeri tekad melindungi hak
semua kaum dan di Selangor, tiada tempat untuk kumpulan atau individu
ekstremis mempermainkan isu rasisme.
“Islam akan didukung sebagai
agama rasmi di Selangor, dengan kebebasan beragama seperti yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada majlis
perasmian ‘Rumah Terbuka Krismas’ di Bandar Botanik, Klang, malam ini.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan
semua pihak, keharmonian kaum hanya boleh dicapai, apabila semua rakyat
berkongsi matlamat sama.
Tambahnya, Hari Natal adalah masa
istimewa untuk mempromosikan persefahaman bersama dan menggalakkan
penganut agama lain berkunjung ke rumah penganut beragama Kristian,
ketika musim perayaan ini.
“Krismas adalah masa untuk memberi.
Sepatutnya ia dipenuhi keriangan dan sambutan, tetapi janganlah kita
lupa kepada golongan miskin serta memerlukan.
“Marilah kita fikirkan mereka yang sedang
melalui masa-masa sukar, khasnya dengan musim hujan dan banjir yang
melanda, termasuk di Klang,” katanya yang berikrar akan menyelesaikan
masalah banjir untuk rakyat Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan