KUALA LUMPUR,  Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-30 penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung pada 24 Januari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pihak TV3 selaku penganjur telah memilih lima ikon yang telah memberikan impak besar sepanjang penganjuran anugerah berprestij itu.


Mereka yang terpilih ialah gandingan komposer terkenal, Manan Ngah dan penyanyi ternama, Francissca Peter yang pernah mencipta kegemilangan menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran sekaligus menjadi pemenang sulung AJL pada tahun 1986.

Kemudian, kumpulan rock legenda, Search juga turut diangkat sebagai ikon AJL di atas kejayaan mereka yang menjadi kumpulan muzik pertama yang menjuarai AJL pada tahun 1989 atas tiket lagu keramat mereka, Isabella hasil gandingan ciptaan mereka bersama Bob Lokman selaku penulis lirik.

Apabila menyebut tentang AJL, pastinya nama penyanyi tersohor negara ini akan terus terpahat kemas dalam sejarah penganjuran AJL iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang turut diiktiraf sebagai penyanyi wanita yang paling banyak dijulang dengan gelaran AJL menerusi Jerat Percintaan (1996), Cindai (1998) dan Balqis (2000).

Tidak cukup dengan itu, pentas AJL juga pernah menyaksikan kegemilangan dan fenomena lagu-lagu berentak tradisional dan Irama Malaysia yang seringkali memeriahkan anugerah itu kira-kira sedekad lalu.

Justeru, dua nama ikon yang cukup masyhur dalam memartabatkan lagu-lagu berkenaan di pentas AJL yakni Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan penulis lirik prolifik, Hairul Anuar Harun turut menerima pengiktirafan daripada TV3 di atas penguasaan mereka dalam kategori itu.

Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya pernah bergelar juara sebanyak dua kali pada tahun 1998 dan 2000 masing-masing untuk lagu Cindai dan Balqis.

Sebagai juara pertandingan itu untuk edisi ke-29 awal tahun ini, Joe Flizzow dan SonaOne tidak dilupakan apabila diiktiraf oleh TV3 sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik untuk lagu hip hop dan rap pertama yang diangkat sebagai juara menerusi lagu Apa Khabar.

Pun begitu, ada kemusykilan di sebalik pemilihan ikon-ikon ini kerana sepanjang 30 tahun AJL diadakan, sebenarnya ramai lagi yang turut layak menerima pengiktirafan dan digelar ikon di atas sumbangan mereka di pentas AJL.
artis-m-5
Kali terakhir M. Nasir memenangi Anugerah Juara Lagu adalah pada tahun 2011 menerusi 
lagu Awan Nano hasil kolaborasinya bersama penulis lirik, Buddhi Hekayat dan penyanyinya, 
Hafiz Suip. – Foto baby-rina.blogspot.com
Usah pandang jauh, kehebatan komposer dan penulis lirik ternama negara, Datuk M. Nasir adalah nama yang secara terang-terangan telah tercicir dan terlepas pandang oleh pihak TV3.

Adakah M. Nasir tidak layak untuk bergelar ikon AJL sedangkan dia sepatutnya diangkat sebagai ikon selaku komposer yang paling banyak memenangi AJL iaitu empat kali bermula dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud pada tahun 1994, Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan Awan Nano (2011).

Pastinya itu adalah satu kejayaan yang secara terang-terangan layak dan wajar untuk dijadikan sebagai ikon AJL.

Bagi menjawab persoalan itu, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Mohamed Nordin menjelaskan soal layak atau tidak memang tidak timbul kerana pihaknya mahu memberikan pengiktirafan kepada mereka yang benar-benar memberikan impak.

“Bukan itu sahaja, isu tidak terlepas pandang juga tidak timbul. Mungkin bukan kali ini tetapi siapa tahu mungkin sambutan ulang tahun ke-40, nama M. Nasir akan dipilih sebagai ikon pula bersama-sama mereka yang akan terus mencipta rekod dan kegemilangan baharu selepas ini,” katanya lagi.

Jawapan Sherina itu kemudiannya disambut dan dibalas pula Pengurus Hiburan Primeworks Studios Sdn. Bhd., Muhamad Sufian Isa yang turut menafikan perkara itu (kegagalan menyenaraikan nama M. Nasir sebagai ikon).

Tidak mahu pihak media terus dibelenggu kekeliruan, Muhamad Isa menerangkan bahawa pemberian gelaran ikon AJL kepada lapan individu menerusi lima kategori itu adalah berdasarkan kepada komitmen mereka dalam menjayakan sesi promosi sempena AJL 30.

“Kami memang cukup sedar impak yang dihasilkan oleh M. Nasir sepanjang AJL diadakan tetapi dari awal lagi, beliau tidak dapat memberikan komitmen untuk sesi promosi ini lalu kami tidak dapat berbuat apa-apa.

“Pihak kami memang menyenaraikan beberapa nama untuk dijadikan ikon tetapi semuanya bergantung kepada masa dan jadual mereka juga. Lalu, kami sepakat untuk memberikan penghargaan kepada lapan individu ini menerusi lima kategori berasingan,” jelasnya panjang lebar.