Khamis, 31 Disember 2015

SPRM kemuka kertas siasatan SRC, RM2.6b Najib kepada AG

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengemukakan dua kertas siasatan berkaitan kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan kes RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Shukri Abdul berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa syor cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan kes derma RM2.6 bilion itu masih tidak lengkap.

“SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara.

Dokumen dan keterangan ini hanya boleh diambil melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan negara berkenaan.

“Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa,” kata Shukri dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, SPRM telah memfailkan permohonan dengan Peguam Negara untuk mendapatkan MLA berkenaan.

Mengenai kertas siasatan SRC International, Shukri berkata suruhanjaya itu mengambil keterangan daripada lebih 100 orang saksi.

Kertas siasatan kemudian dibentangkan kepada sebuah panel bebas sebelum ia dihantar kepada Peguam Negara.

Ahli-ahli panel itu adalah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani, bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee, dan peguam bela dan peguam cara, Datuk Zuraida Atan.

“Ahli-ahli panel ini juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM,” kata Shukri.

Isu derma RM2.6 bilion pertama kali muncul pada Julai apabila The Wall Street Journal melaporkan bahawa wang itu disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Laporan WSJ juga mendakwa turut disalurkan ke akaun Najib adalah RM42 juta yang kononnya berasal dari SRC International.

Najib menafikan sebarang salah laku.

Shukri mengakhiri kenyataannya dengan berkata, SPRM menaruh keyakinan tinggi pada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya, untuk membuat keputusan secara profesional.

Tiada ulasan: