Khamis, 31 Disember 2015

Biar k'jaan persekutuan tangani pencemaran bauksit, kata MP

MALAYSIAKINI


 


Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mahu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memberi laluan kepada kerajaan persekutuan untuk menangani masalah pencemaran bauksit di Kuantan selepas gagal mengumumkan sebarang tindakan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, tindakan itu adalah untuk kebaikan rakyat.

"Saya lihat beliau (Adnan) berdepan cabaran besar yang sukar beliau atasi dan atas sebab itu beliau tidak dapat mengumumkan tarikh moratorium (mengenai eksport bauksit).

"Sebab itu saya cadangkan untuk menyelesaikan masalah ini, semua pihak bertanggungjawab - menggantung dan mengawal selia perlombongan bauksit, melaksana dan menguatkuasakan moratorium dan memulihkan semula Kuantan - diserahkan kepada kerajaan persekutuan," kata Fuziah  .Kerajaan persekutuan, katanya, mempunyai mandat untuk bertindak kerana semua agensi-agensi yang terbabit adalah di bawah kawalan persekutuan.


"Jika beliau mengambil berat nasib penduduk Kuantan, beliau perlu melakukan ini," kata Fuziah.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Adnan di Pusat Transformasi Bandar di Kuantan hari ini.

Adnan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Pahang bersama dengan Kementerian Sumber dan Alam Sekitar akan membuat pengumuman mengenai perlombongan bauksit pada akhir tahun ini.

Pada pertemuan beliau dengan Adnan hari ini, Fuziah menyerahkan memorandum, bersama-sama dengan bukti bergambar apa yang didakwanya sebagai pencemaran bauksit yang melanda Kuantan.

Antara gambar yang dikongsinya yang didakwa berlaku pencemaran bauksit adalah di kawasan antara Pantai Batu Hitam dan Sungai Pengorak yang berhampiran pelabuhan Kuantan.


Turut dikongsi adalah gambar yang menunjukkan aktiviti penambakan yang didakwa berlaku di sekitar Sungai Rong. Air empangan itu, dakwa Fuziah digunakan untuk membersihkan bauksit.

Ini, katanya, menimbulkan bahaya pencemaran kepada air minuman terhadap penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Sagu.



Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula dilaporkan memulakan siasatan terhadap pencemaran di Pantai Batu Hitam.


Tiada ulasan: