FERNANDO FONG
Lee bersama buku terbitan ketiganya. - Foto TRP/ Daniel Chan
KUALA LUMPUR, Aktivis sosial veteran, Tan Sri Lee Lam Thye menyeru rakyat Malaysia membentuk sebuah masyarakat dan negara penyayang.
Jelasnya, tiada salahnya menjadi kaya, tetapi pada masa sama, mereka tidak boleh melupakan tanggungjawab sosial masing-masing.
“Saya cuba menjadi teladan dari segi berkhidmat kepada masyarakat.
“Mana-mana segmen
masyarakat yang memerlukan bantuan, saya akan pastikan mereka terima
bantuan diperlukan tanpa mengira kaum, sejajar konsep 1Malaysia,”
katanya.
Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen
dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP berkata, bantuan perlu diberikan
kepada semua, kerana kemiskinan tidak mengenal batas perkauamn.
Menurutnya, semua orang boleh menjadi miskin, tanpa mengira bangsa.
Pada masa sama, Lee mengingatkan rakyat bahawa mereka akhirnya perlu membantu diri dengan mengamalkan sikap yang betul.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib, kecuali mereka membantu diri sendiri,” katanya.
Lee yang juga Pengerusi
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata
demikian pada majlis pelancaran bukunya “Melalui Mata Saya” di kampus
utama Universiti Terbuka Malaysia, hari ini.
Lee berharap buku
ketiganya itu dapat menarik pembaca untuk memahami pemikirannya dan
menjadi inspirasi kepada mereka bagi mengikut jejak langkah beliau
menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Lee yang mengambil berat
tentang kesejahteraan rakyat Malaysia, sering menyumbang dalam bentuk
tulisan di surat khabar dan memberi komen mengenai isu-isu semasa.
“Sejak saya bersara
daripada politik pada 1990, saya memainkan peranan aktif, terutamanya
dalam aktiviti kebajikan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada
agenda saya,” katanya.
Karya terbaru beliau memuatkan 250 tulisan-tulisannya dari 2011 hingga 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan