KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan bayaran balik hutang kad kredit, persidangan Dewan Negara diberitahu Selasa.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata ini kerana
prinsip KWSP adalah sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial yang
menyediakan simpanan untuk persaraan ahli.
"Caruman di Akaun 2 KWSP iaitu dalam kategori akaun prapersaraan boleh
dikeluarkan namun hanya untuk tujuan tertentu seperti kesihatan,
perumahan dan pendidikan.
"Sekiranya terdapat permintaan untuk meningkatkan pengeluaran untuk
tujuan lain dikhuatiri akan menjejaskan jumlah yang mencukupi untuk ahli
bersara kelak," katanya, menjawab soalan Senator Datuk Goonasakaren
Raman yang ingin tahu sama ada kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP
untuk membayar balik hutang kad kredit.
KWSP menetapkan 70 peratus caruman untuk Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.
Bagaimanapun, Chua berkata kerajaan telah mewujudkan Agensi Kaunseling
dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu individu yang menghadapi
masalah pengurusan kewangan dengan menawarkan khidmat nasihat dan kaedah
pembayaran balik yang bersesuaian.
Sehingga September 2015, Chua berkata lebih 141,000 peminjam telah
berdaftar dan dibantu di bawah program pengurusan hutang yang
dikendalikan AKPK.
Sementara itu beliau berkata penetapan minda bahawa permohonan kad
kredit boleh diperoleh dengan mudah adalah tidak tepat kerana mengikut
statistik, kelulusan permohonan berada pada tahap 40 hingga 50 peratus
sahaja.
Ia selari dengan syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia bagi
tujuan itu dengan mengambil kira pendapatan dan jumlah kad kredit
individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan