BERNAMA
Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak
berkenaan dipercayai melakukan perkara itu untuk memastikan monopoli
mereka dalam bidang itu terus kekal. - Foto TRP/Daniel Chan
BERA, Ada pihak didapati tidak senang dengan
kewujudan Mara Digital sehingga sanggup menyebarkan pelbagai tohmahan
termasuk melalui media sosial untuk memastikan pusat usahawan digital
Bumiputera itu gagal.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkenaan dipercayai
melakukan perkara itu untuk memastikan monopoli mereka dalam bidang itu
terus kekal.
“Langkah mewujudkan Mara Digital ini
bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak tetapi sebagai langkah untuk
menyediakan tempat perniagaan kepada Bumiputera sesuai dengan peranan
Mara itu sendiri.
“Ini kerana selama ini peniaga Bumiputera
dalam bidang tersebut susah untuk mendapat tempat dan jikalau adapun
sewanya agak mahal, menyebabkan ramai yang tidak mampu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas menghadiri program ‘Back To School Yayasan Pelajaran Mara’ di
sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusinya, Zahida Zarikh
Khan.
Sehubungan
itu, Ismail Sabri berkata pihak lain tidak sepatutnya merasa terancam
dengan kewujudan pusat digital berkenaan ia hanya merupakan alternatif
kepada pusat digital yang sedia ada di negara ini.
“Tak perlu rasa terancam sebab pusat itu
hanya mempunyai 38 gerai berbanding pusat digital lain yang lebih besar
dan mempunyai beratus-ratus gerai.
“Kami hanya menyediakan pilihan kepada
pengguna dan kami tidak pernah memaksa mereka untuk membeli-belah di
situ, jadi tak perlulah nak memburukkan Mara Digital,” katanya.
Menurutnya kewujudan Mara Digital juga
sedikit sebanyak membantu menghidupkan kembali Arked Mara yang selama
ini perniagaan di kawasan itu hampir malap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan