Khamis, 3 Disember 2015

Jawab isu 1MDB di Parlimen: Jadi atau tidak?

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
 
Jawab isu 1MDB di Parlimen: Jadi atau tidak?
Isu berkaitan 1MDB turut tersenarai antara soalan sesi jawab lisan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat pada Khamis. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijadual akan memberi penerangan berhubung isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat pada Khamis (3 Disember).

Menurut sumber Astro AWANI, salah seorang menteri akan memberi penerangan tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i).

"Menteri akan bagi penerangan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 14 (1)(i) di mana menteri boleh memberi penerangan kepada Dewan Rakyat. Memang ia tidak disenaraikan dalam aturan mesyuarat," kata sumber tersebut.

Selain itu, sumber berkenaan turut memaklumkan kemungkinan menteri berkenaan akan memberi penjelasan berhubung dana politik RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber pada masa sama turut mengesahkan perkara tersebut tidak akan dijelaskan oleh Najib sebaliknya oleh menteri bertanggungjawab.

Selain itu, isu berkaitan 1MDB turut tersenarai antara soalan sesi jawab lisan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagaimanapun, merujuk dalam edaran aturan tersebut yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen Malaysia, soalan yang dikemukakan Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP-Raub) itu tersenarai pada bilangan 43.

Mohd Ariff meminta Kementerian Kewangan untuk menyenaraikan nilai bon-bon yang telah diterbitkan oleh 1MDB secara kronologi serta nilai hutang yang ditanggung oleh 1MDB sebenarnya dengan nilai ringgit semasa.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jabatan Perdana Menteri akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan berhubung dakwaan RM2.6 bilion dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, 3 Disember ini.

Katanya, adalah lebih baik untuk mengumpul semua soalan mengenai perkara itu dan menjawabnya pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini iaitu esok. 
 
 

Tiada ulasan: