KUALA LUMPUR,  Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah meluahkan rasa terkilan apabila cadangan pindaan undang-undang berkaitan rasuah masih tidak dibawa ke Parlimen walaupun telah dikemukakan tiga tahun lalu.


Memetik laporan Tahunan Badan Bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM), antara perkara penting yang pernah disyorkan ialah cadangan pindaan undang-undang yang melibatkan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009, pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah Malaysia, aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam.

“Dalam perkara ini, Perdana Menteri sendiri telah menyatakan pendirian dari segi prinsip, beliau menyokong cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

“Justeru, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah berharap semua pihak yang terlibat dapat memberi pertimbangan yang serius untuk merealisasikan hasrat yang murni ini pada tahun ini,” menurut laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Tambah laporan itu lagi, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang juga merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, berharap syor dan cadangan terutama yang melibatkan pindaan undang-undang berkaitan rasuah dilaksanakan secepat yang mungkin.

“Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah juga komited untuk melaksanakan perubahan supaya dapat mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia.

“Justeru, syor dan cadangan terutama melibatkan pindaan undang-undang sudah dikemukakan tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan,” jelas laporan itu lagi.

Manakala cadangan-cadangan lain yang terkandung dalam Laporan Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2014 adalah:

“Pemohonan bagi kerajaan mempertimbangkan tambahan peruntukan kepada SPRM supaya tidak menjejaskan perjalanan SPRM susulan pengurangan peruntukan kewangan sebanyak RM42 juta bagi tahun kewangan 2016.

“Penubuhan panel bebas bagi mengkaji kertas siasatan kes-kes profil tinggi sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara yang dilakukan secara ‘on case basis’ serta mempertingkatkan Dasar Merakyatkan SPRM bagi penerimaan dan meyakinkan masyarakat terhadap SPRM.