MOHD ZULHAIRIE
Penduduk kampung bersama
pegawai JKR melihat keadaan pintu penghalang air banjir yang tidak
berfungsi di Kampung Bendang Pak Yong. Foto TRP/ Mohd Zulhairie
TUMPAT, Khuatir `banjir termenung’ berulang lagi, penduduk kampung Bendang Pak Yong mahu kerajaan dan agensi berkaitan membina jambatan bagi mengalirkan air banjir ke Sungai Golok.
Untuk rekod, `banjir termenung’ adalah istilah yang digunakan bagi kejadian banjir yang lambat surut.
Wakil penduduk, Kasim Omar, 66, berkata,
pembinaan jambatan di kampung Pohon Nibong itu dapat menyelamatkan lebih
5,000 keluarga daripada menjadi mangsa `banjir termenung’ saban tahun.
Menurutnya, air banjir dapat disalurkan keluar ke Sungai Golok dengan cepat kerana lokasinya lebih tinggi dari Sungai Golok.
“Faktor Jalan Kasban yang lebih tinggi
menjadi penyebab air tersekat kerana panjangnya sejauh 27 kilometer dari
Pengkalan Kubor-Rantau Panjang itu menyekat air banjir daripada turun
ke Sungai Golok.
“Jika
jambatan dibina di Pohon Nibong, kita tidak perlu risau air dari Sungai
Golok masuk ke kawasan penempatan penduduk kerana jalan berkenaan
ditebuk untuk dibina jambatan.”
Ariffin Awang Chik, pula berkata, sejak
jalan Kasban dibina, ia memberi masalah kepada penduduk pinggir Sungai
Golok kerana air banjir lambat surut.
“Sebelum adanya jalan ini, banjir di sini
tidaklah seteruk sekarang, banjir tiga hari, air sudah surut. Namun
sejak tiga tahun lalu selepas jalan ini dibina, tiga minggu kampung kami
masih ditenggelami banjir bagaikan lautan.
“Bila banjir, semua kerja tak dapat
dilakukan, jalan terputus ditenggelami air dua meter, budak-budak
sekolah sukar nak ke sekolah kerana banjir berlarutan hingga Januari,”
katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan
berkenaan.
Menurutnya, sudah tiba kerajaan mencari
alternatif menyelesaikan masalah ini dan berharap suara rakyat didengar
kerana mereka lebih mengetahui keadaan sebenar di sini.
Manakala Pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan Bendang Pak Yong, Ismail
Awang Senik berkata, `banjir termenung’ juga menjejaskan 300 petani
kerana padi ditenggelami banjir.
“Bukan sahaja kediaman ditenggelami banjir, tanaman juga musnah.
“Air banjir lambat surut juga akan
menjejaskan jadual penanaman padi, kawasan lain sudah kering kontang dan
boleh mulakan tanaman padi, tapi di sini banjirnya belum surut lagi,”
katanya.
Menurutnya, walau pun ada usaha membina
pembentung air merentasi Jalan Kasban, tetapi ia tidak efisien kerana
banjir termenung tetap berlaku.
Hadir sama, pegawai Jabatan Kerja Raya
(JKR) yang turut sama turun padang untuk melihat sendiri masalah yang
dihadapi penduduk di situ.
Walau bagaimanapun, pihak JKR enggan
mengulas lanjut dan akan suarakan permintaan penduduk di situ kepada
pihak atasan dan berharap masalah itu dapat diselesaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan